Seludup: Anggota beruniform tumpas

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang juga anggota beruniform ditahan setelah cuba melarikan diri semasa pemeriksaan polis di kawasan Brunei Bridge Authority, Daerah Temburong awal pagi tadi.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), kejadian berlaku sekitar pukul 5:25 pagi semasa sekatan jalan raya dikendalikan oleh anggota Balai Polis Bangar.

Semasa pemeriksaan awal, enam bungkusan kotak yang mencurigakan telah ditemui di kawasan semak berhampiran kenderaan suspek, dipercayai dibuang sebelum berjaya ditahan.

Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan-bungkusan tersebut mendapati pelbagai barangan tegahan dan barangan tidak diisytiharkan seperti minuman keras, barangan kosmetik dan kecantikan, madu serta barangan kesihatan.

Suspek kemudiannya dibawa ke Pusat Kuarantin Perkampungan Sukan Berakas bagi menjalani proses kuarantin.

Kes siasatan dan barang-barang bukti diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.

Kenyataan menegaskan, PPDB akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa bagi tujuan pembanterasan kegiatan-kegiatan jenayah terutama sekali barangan tegahan yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara seludup.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan-kegiatan sedemikian diseru agar dapat berkongsi sama dengan menyalurkan terus melalui talian kecemasan polis 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Antara barangan tegahan yang cuba diseludup masuk anggota beruniform tersebut.
Kenderaan yang digunakan suspek untuk menyeludup barangan tegahan.