Oleh Nour Maghfirah –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Seorang lelaki yang cuba merayu sabitan dan denda atas kesalahan menyeludup barangan cukai yang tidak diisytiharkan telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi kelmarin selepas memfailkan permohonannya tidak mengikut masanya.
Rodney Keasberry, warga Brunei berusia 47 tahun, telah didenda $10,000 pada Disember 2024 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Perintah Eksais 2006 iaitu satu pertuduhan kerana memiliki rokok tanpa cukai dan satu lagi pertuduhan kerana memiliki minuman keras tanpa bayaran duti.
Pertuduhan itu berpunca daripada kejadian pada 5 Mac 2024, apabila Keasberry ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah kira-kira jam 10:05 malam ketika memandu Daihatsu Terios berwarna putih. Walaupun dia telah mengisytiharkan beberapa minuman beralkohol, pegawai kastam menemui barang tambahan yang tidak diisytiharkan di dalam kenderaan itu iaitu tiga karton rokok bersama dua botol minuman keras.
Duti yang belum dibayar berjumlah $300 untuk rokok dan $19 untuk minuman beralkohol.
Dia dijatuhkan hukuman pada 14 Disember 2024, dengan mahkamah memerintahnya menjelaskan denda $10,000 selewat-lewatnya pada 14 Mei. Bagaimanapun, Keasberry hanya berjaya membayar $200 sebelum memohon pada 5 Mei 2025, untuk merayu hukuman itu dan meminta lebih masa untuk membayar bakinya.
