Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seludup dadah dalam ambulans

    BANGKOK, 13 OKT – Sindiket dadah kini menggunakan taktik baharu dengan menyamar sebagai pihak berkuasa melalui penggunaan kenderaan bantuan dan ambulans sukarela bagi mengelak pemeriksaan keselamatan ketika menyeludup dadah menyeberangi sempadan Thailand.

    Ketua Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONBC), Niyom Termsrisuk berkata ambulan dan kenderaan berkenaan yang ditampal dengan pelbagai logo rasmi, digunakan bagi mengaburi pegawai-pegawai keselamatan di pusat pemeriksaan untuk mengangkut dadah dari sempadan di bahagian utara Thailand.

    “Kami telah menahan 21 suspek dalam tujuh kes menggunakan kenderaan perkhidmatan perubatan bagi menyeludup dadah sejak November 2016 hingga September tahun ini.

    “Kami merampas 1.351 juta pil Yaba, 600 kilogram (kg) Ice dan 80kg Ketamine,” katanya pada sidang akhbar di sini.

    Niyom berkata bulan lepas polis di wilayah Utara memberkas dua suspek yang memandu sebuah kenderaan bantuan sukarela bagi mengangkut 692,000 pil Yaba dari daerah di sempadan ke Chiang Mai.

    “Dadah itu dipercayai untuk diedarkan di kawasan Bangkok dan pasaran berdekatan. Niyom berkata sindiket yang menggunakan ambulan dan kenderaan bantuan sukarela mengganggu perkhidmatan kecemasan oleh kerana dalam sesetengah hal, kenderaan tersebut terpaksa ditahan pihak berkuasa untuk pemeriksaan.

    Beliau menggesa orang ramai menyampaikan maklumat jika mengesan tingkah laku dan kenderaan yang mencurigakan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda