Sunday, May 4, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seluruh Malaysia di bawah PKP kecuali Sarawak

    KUALA LUMPUR, 19 JAN – Seluruh Malaysia, kecuali Sarawak, akan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas kerajaan turut menguatkuasakan perintah itu di Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu mulai 22 Januari ini hingga 4 Februari depan.

    Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah terdapat peningkatan taburan kes positif COVID-19 dalam komuniti di negeri-negeri terbabit.

    “Berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM (Kementerian Kesihatan) kerajaan bersetuju supaya PKP dilaksanakan di negeri-negeri tersebut bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP, di sini hari ini.

    Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan PKP di enam negeri, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (KL, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah mulai 13 hingga 26 Januari.

    Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala di Perlis dan Sarawak pula diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sepanjang tempoh itu.

    Pada 16 Januari lalu, PKP dilaksanakan di Kelantan hingga 26 Januari. Berhubung pelaksanaan SOP semasa PKP di negeri terbabit, beliau berkata SOP sama seperti yang diumumkan sebelum ini, antaranya penduduk tidak dibenarkan keluar kecuali membeli barangan keperluan serta pergerakan keluar masuk bagi semua kawasan PKP hanya boleh dilakukan dengan kebenaran polis.

    Bagaimanapun katanya restoran, kedai, gerai, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, medan selera, pusat penjaja, kiosk, gerai tepi jalan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6 pagi dan 8 malam.

    Beliau berkata penjualan makanan hanya untuk bawa pulang, pandu lalu atau melalui khidmat penghantaran mulai 6 pagi hingga 8 malam, manakala hospital dan klinik dibenar operasi 24 jam.– Bernama

    Suasana sebuah pusat membeli belah di Kedah yang lengang tanpa pengunjung berikutan PKPB di Kedah. Terkini PKP akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 22 Januari sehingga 4 Februari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda