Monday, July 8, 2024
23 C
Brunei

    -

    Seluruh negara kibar bendera

    Oleh Salawati Haji Yahya, Daniel Lim & Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Bagi menanamkan rasa cinta kepada raja, Upacara Menaikkan Bendera Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78, bagi tahun 2024 telah diadakan oleh pelbagai pihak termasuk sektor kerajaan, swasta dan persendirian.

    Antaranya termasuk penghulu dan pemangku penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan pemangku ketua kampung Zon 3, kelmarin, yang tidak ketinggalan mengadakan Upacara Menaikkan Bendera Negara Brunei Darussalam di kawasan Dewan Kemasyarakatan, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat dan Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan; penghulu-penghulu mukim; pemangku-pemangku penghulu mukim; ketua-ketua kampung; pemangku-pemangku ketua kampung serta ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kawasan 1 dan 2 RPN Kampung Mentiri.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Pemangku Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Kampung Panchor, Mentiri, Awang Faidil Rosemady bin Mohammad.

    Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak menyerahkan bendera negara kepada pasukan kadet polis untuk upacara menaikkan bendera negara. – GAMBAR SERAHAN MPK ZON 3
    Sesi bergambar ramai Yang Di-Pertua PPNBD bersama ahli-ahli pengakap lain. – GAMBAR SERAHAN PPNBD
    Yang Berhormat Haji Daud bergambar ramai selepas upacara mengibarkan bendera. – GAMBAR OLEH SIM Y.H
    Suasana semasa upacara menaikkan bendera sedang dilaksanakan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Upacara menaikkan bendera negara di Mukim Liang. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Haji Abdul Afiq bergambar ramai semasa upacara mengibarkan bendera negara di Masjid RPN Kampung Pandan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Acara kemudian menyaksikan perbarisan masuk pembawa bendera negara yang terdiri daripada 12 orang pasukan kadet polis dari Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Kampung Mentiri.

    Acara tersebut diikuti dengan penyerahan bendera negara yang disampaikan oleh Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Haji Awang Mohd Eddie Hardey bin Haji Awang Ibrahim yang juga merupakan Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Kampung Panchor, Mentiri kepada Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak yang seterusnya menyerahkan kepada pasukan kadet polis untuk upacara menaikkan bendera dengan diiringi lagu kebangsaan.

    Dalam pada itu, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah mengadakan upacara yang sama di Ibu Pejabat PPNDB.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Junaidi bin Haji Hussin, ahli-ahli Majlis Pengakap Kebangsaan, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, penolong-penolong pesuruhjaya pengakap, pemimpin-pemimpin pengakap serta ahli-ahli Pengakap Kelana.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Upacara menaikkan bendera disempurnakan oleh ahli-ahli Krew Pengakap Kelana Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan iringan nyanyian lagu kebangsaan.

    Dengan adanya upacara-upacara menaikkan bendera berkenaan, ia diharap akan dapat memberikan kesedaran kepada ahli-ahli pengakap agar sama-sama menaikkan bendera negara bagi memperingati dan memeriahkan salah satu hari kebesaran negara.

    Manakala bagi warga Mukim Berakas A dan B Zon 2, upacara yang sama telah berlangsung di Dewan Kemasyarakatan 1, Jalan 2, RPN Lambak Kanan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli MMN, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan.

    Turut hadir ialah pemangku-pemangku penghulu mukim, ketua-ketua kampung, pemangku-pemangku ketua kampung Mukim Berakas A dan B serta para jemputan khas.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan oleh Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Lambak Kanan, Haji Fazzly bin Haji Suhaili.

    Majlis diteruskan dengan upacara menaikkan bendera oleh ahli-ahli MPK Sungai Tilong yang diiringi oleh nyanyian lagu kebangsaan dan acara bergambar ramai.

    Sementara itu, upacara menaikkan bendera turut diadakan bagi mukim dan kampung di seluruh Daerah Belait.

    Salah satu majlis seumpamanya telah diadakan di Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC) oleh Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) Mukim Liang dengan Penghulu Mukim Liang, Haji Mohamad Yamin bin Haji Abdul Ranni hadir sebagai tetamu kehormat.

    Turut hadir ialah ahli-ahli MPMK Mukim Liang serta penduduk mukim dan kampung sekitar.

    Ketua Kampung Lumut II, Haji Khairdon bin Haji Dahlan mengetuai upacara penyerahan bendera negara kepada penghulu yang kemudiannya diserahkan kepada pembawa bendera yang terdiri daripada ahli-ahli Kumpulan Seni Warisan Pelangi Pencak Silat untuk dikibarkan sambil diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan.

    Kumpulan itu turut mengadakan persembahan silat bagi memeriahkan lagi sambutan yang diadakan di Mukim Liang.

    Upacara serupa turut diadakan untuk Mukim Kuala Belait di Masjid RPN Kampung Pandan.

    Majlis tersebut dianjurkan oleh Majlis Perundingan Mukim (MPM) Belait dan diketuai oleh Penghulu Mukim Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin.

    Penghulu menyerahkan bendera kebangsaan kepada murid-murid Sekolah Tunas Jaya PGGMB yang dijemput sebagai pembawa bendera untuk mengibarkan bendera pada majlis itu yang diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemimpin Asia S ucap tahniah kepada presiden baharu Iran

    NEW DELHI, 7 JULAI – Pemimpin-pemimpin Asia Selatan menyampaikan ucapan tahniah kepada presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian serta menzahirkan hasrat mereka untuk mengukuhkan hubungan...