KUALA LUMPUR – Berdekad lamanya rakyat beragama Islam di Malaysia meraikan hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad SAW setiap 12 Rabiulawal dengan pelbagai acara keagamaan diadakan termasuk di masjid dan surau.
Pada tahun ini, Maulidur Rasul jatuh pada hari Khamis, 29 Oktober dan tema sambutan adalah ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’.
Bagaimanapun, majlis sambutan Maulidur Rasul yang juga dikenali sebagai Maulid Nabi, peringkat Kebangsaan pada tahun ini, dijangka diadakan dalam suasana yang berbeza. Ini memandangkan negara masih dilanda pandemik COVID-19 dan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi termasuk perhimpunan ramai.
Meskipun sambutan Maulidur Rasul mungkin tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya, adalah diharapkan ianya masih diraikan oleh umat Islam di negara ini termasuk generasi muda sebagai memperingati Nabi Muhammad. termasuklah mengenali dengan lebih dekat kisah kehidupan serta keperibadian tinggi baginda.
Ini amat perlu diamalkan memandangkan ada segelintir anak muda beragama Islam yang bertindak kasar terhadap ibu bapa, melemparkan kata-kata kesat kepada guru, dan paling menakutkan ada yang terjerat dalam jenayah termasuk penagihan najis dadah dan berzina.
Manfaatkan teknologi
Menurut pendakwah bebas, Syed Putra Haizam Shahabudin, orang Islam masa kini terutamanya golongan pendakwah mempunyai tanggungjawab besar untuk memberi kesedaran kepada mereka yang sudah tersasar daripada landasan agama.
Ibu bapa terutamanya, kata beliau, perlu menghidupkan rumah masing-masing dengan pelbagai kegiatan berbentuk kerohanian untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ajaran agama Islam.
“Kita kini hidup dalam zaman penuh fitnah dan rasuah. Oleh itu, orang Islam mempunyai tanggungjawab untuk melindungi diri mereka serta ahli keluarga mereka daripada terperangkap dengan kegiatan yang tidak bermoral.
“Selain daripada meraikan Maulidur Rasul secara sederhana di rumah dengan mengadakan majlis berselawat dan tazkirah mengenai Hayatussahabah (sahabat Rasululullah) kerana kita kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kita juga boleh memanfaatkan teknologi dengan mendengar ceramah agama yang boleh diperolehi menerusi platform sosial media seperti Facebook dan YouTube,” kata beliau sewaktu dihubungi, baru-baru ini.
Beliau turut menasihatkan golongan pendakwah supaya menggunakan platform sosial media dengan sebaik-baiknya dengan menghasilkan lebih banyak video pendek mengandungi ceramah yang padat dengan pengetahuan yang berguna.
“Contoh paling dekat ialah platform Instagram yang mempunyai ciri rakaman satu minit. Ini kerana pengguna Instagram lebih mudah tertarik kepada video pendek seperti ini dan ia boleh menjadi ‘senjata hebat’ kita untuk menghampiri kumpulan sasar kita.
“Bagi diri saya, saya lebih suka menggunakan Facebook kerana ia mempunyai ciri video secara langsung yang boleh disiarkan lebih lama.
Saya juga menggunakan aplikasi Zoom and Google Meet jika mengadakan sesi berbual tertutup dengan pelanggan, “ katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Syed Putra Haizam mengibaratkan penggunaan teknologi seperti menggunakan pisau. Sekiranya ia digunakan untuk kebaikan dan yang memberi manfaat, kebaikanlah yang akan kita perolehi. Begitulah juga sebaliknya.
Bukan alasan
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr Mohd Shahid Mohd Noh berpandangan, masih belum terlewat untuk umat Islam negara ini menjadikan Rasulullah sebagai Qudwah Hasanah (teladan) dan terus berusaha untuk mengenali Baginda dengan lebih dekat.
Perubahan masa atau faktor masa bukan alasan untuk kita tidak berusaha mengenali keperibadian Nabi Muhammad yang kita cintai.
“Bak pepatah, ‘Cinta itu perlu ditunjukkan dengan perbuatan baik, bukan sekadar kata-kata’.
Sudah tiba masanya untuk kita mengiktiraf serta mencontohi personaliti baginda, memandangkan kita kini hidup di tengah-tengah keruntuhan moral. Kita perlu segera melakukannya.
“Tambahan, dengan semua kemudahan teknologi yang ada, tidak ada sebab untuk kita tidak mengenali baginda. Sebagai contoh, satu program popular television, iaitu Jejak Rasul.
Ianya menjadi bahan tontonan umum yang menawarkan pelbagai kisah nabi serta rasul termasuk kehidupan Nabi Muhammad,” beliau menjelaskan kepada penulis, sewaktu dihubungi baru-baru ini.
Beliau menambah, antara amalan generasi terdahulu untuk mengukuhkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad adalah dengan membaca kisah Maulid yang ditulis oleh Abu Jaafar al-Barzanji (dikenali dalam Bahasa Melayu sebagai al-Barzanji / Dalail al-Khairat) yang mengandungi pelbagai bacaan selawat.
“Orang Islam sudah diajar untuk menunjukkan rasa sayang dan cinta kepada Rasululullah dengan mengadakan perayaan Maulidur Rasul. Sewaktu sambutan ini berlangsung, sejarah kehidupan Nabi Muhammad akan dibacakan. Masing-masing yang hadir dengan khusyuk akan mendengar kisah baginda. Ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Di sesetengah negara, buku seperti Dalail al-Khairat dan Mawlid al-Daiba’i dibaca dalam majlis yang diadakan. Suasana menjadi lebih meriah dengan alunan nasyid serta perkongsian tazkirah oleh alim ulamak serta cendekiawan.
“Hari ini ada buku yang menggambarkan sifat terpuji Rasulullah (Shamail al-Muhamadiyyah) yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Ia juga dibincangkan dalam beberapa perantara untuk menarik orang Islam mengenali baginda dengan lebih dekat.
“Dengan adanya aplikasi terjemahan dalam talian, bahasa bukan lagi sekatan untuk kita membaca serta memahami buku-buku berkenaan dalam usaha untuk menyemai rasa cinta kepada baginda, “ katanya.
Betulkan moral kita
Dr Mohd Shahid juga berkongsi hadis mengenai ketinggian akhlak Nabi Muhammad: “Sungguh, aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia.” (HR. Baihaqi dan Al-Hakim).
Mengulas lebih lanjut mengenai hadis berkenaan, beliau berkata meskipun Rasulullah dilahirkan dalam kalangan masyarakat Arab yang diketahui terlibat dalam banyak kegiatan tidak bermoral, tetapi ia tidak sedikit memberi kesan kepada baginda. Justeru beliau digelar Al-Amin (boleh dipercayai).
“Meskipun di kelilingi oleh masyarakat Arab Jahiliah, keperibadian baginda sedikit pun tidak tercemar. Malahan baginda istiqomah dengan moral yang tinggi, kata beliau.” – Bernama