Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Jerayawara Menghalusi Solat Mazhab Syafi’ie bagi guru-guru sekolah rendah, menengah dan pusat tingkatan enam seluruh negara anjuran Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan diteruskan lagi hari ini bagi sesi kelima di Dewan Tarbiyah, KUPU SB.
Hadir selaku fasilitator ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar yang menyampaikan tajuk ‘Menghalusi Tertib Solat Mazhab Al-Syafi’ie R.A’ yang memfokuskan kepada rukun Fi’li iaitu cara solat bagi mencegah kemungkaran.
Beliau berkata, mendirikan solat dengan khusyuk bukan saja mencegah pelakunya daripada keburukan dan kemungkaran malahan akan sentiasa dalam reda Allah.
Solat adalah waktunya untuk berdoa dan mengadu pada Allah SWT kerana Allah SWT itu dekat apabila waktu solat.
Beliau menambah, antara cara yang perlu diketahui dalam solat ialah cara berdiri tegak bagi yang mampu, cara menghadap kiblat dan cara memberikan sepenuh perhatian kepada ibadat solat dengan ikhlas dan memohon dijauhkan daripada gangguan syaitan.
Objektif jerayawara berkenaan adalah meningkatkan tahap kefahaman peserta mengenai kewajipan melaksanakan solat fardu lima waktu dengan sempurna serta menghalusi segala rukun dan syarat solat fardu menurut Mazhab Syafi’ie dengan mengukuhkan ketakwaan peserta demi menjaga solat fardu lima waktu dan mendirikannya secara berjemaah bersama keluarga dan masyarakat.
Jerayawara ini dikhususkan bagi pegawai-pegawai pelajaran dan guru-guru pusat tingkatan enam, sekolah menengah dan sekolah rendah yang beragama Islam di bawah Kementerian Pendidikan seluruh negara yang mengajar dalam berbagai mata pelajaran.
