Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semai kemahiran keusahawanan

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Kementerian Pendidikan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Dalam melakar kurikulum bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas, pengetahuan asas yang berkaitan bagi mengukuhkan kemahiran dalam bidang keusahawanan perlu ditekankan supaya ia boleh menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan seharian mereka.

    Dengan kemahiran yang diperoleh itu, ia boleh menjadikan mereka lebih berdikari serta berani dan mempunyai minda yang positif untuk menceburkan diri dalam bidang kemampuan masing-masing khususnya dalam bidang keusahawanan.

    Perkara itu ditekankan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil Pelajar Pra-Vokasional Sesi 2013-2017 dan Penyampaian Hadiah Peserta Peraduan Membaca dan Menulis Ayat Dalam Kod Braille Bersempena Hari Braille Sedunia 2018.

    Pelajar-pelajar berkeperluan khas berkenaan telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran yang boleh dipasarkan sesuai dengan pasaran masa kini di mana antaranya ialah penghasilan tanaman sayur-sayuran menggunakan kaedah fertigasi dan kegiatan jualan yang mendapat sambutan yang baik, jelasnya lagi dalam majlis yang berlangsung di Dewan Mahligai, Airport Mall, Berakas, kelmarin.

    Beliau berkata bahawa pada 2017, sebanyak 1,005 orang pelajar di sekolah-sekolah menengah kerajaan yang berkeperluan khas dari segi pembelajaran, komunikasi, pertuturan, penglihatan, pendengaran, autisme, fizikal, emosi, kelakuan/tingkah laku, perkembangan intelek dan isu kesihatan sedang menuntut dalam suasana persekolahan inklusif.

    Datin Paduka Dr Hajah Romaizah menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
    Para pemenang bergambar ramai bersama hadiah dan sijil yang diperolehi.

    Menyentuh mengenai dengan pengajaran kod Braille, Datin Paduka Dr Hajah Romaizah berkata ia memainkan peranan yang penting dalam membantu para pelajar yang berkeperluan khas dalam penglihatan dalam kemahiran literasi.

    “Oleh itu, sokongan para ibu bapa dan penjaga adalah penting dalam sama-sama menjayakan dan menghasilkan impak yang positif terhadap kemahiran literasi mereka.”

    Beliau menyatakan bahawa seramai lapan orang pelajar berkeperluan khas sedang mengikuti pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan pada masa ini dan menyeru para pelajar untuk menjadikan mereka ini sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya tidak kira apa jua halangan atau kekurangan yang ada.

    Terdahulu Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa Program Pra-Vokasional adalah salah satu daripada laluan dalam Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21) yang dirancang khusus untuk memenuhi keperluan pelajar berkeperluan khas dari segi intelek, fizikal, autisme, tingkah laku, pertuturan, percakapan, penglihatan dan pendengaran di sekolah-sekolah menengah kerajaan.

    Di majlis berkenaan, Datin Paduka Dr Hajah Romaizah menyempurnakan penyampaian sijil kepada 91 orang pelajar yang menamatkan Program Pra-Vokasional dan menyampaikan hadiah kepada tiga orang pemenang dalam Peraduan Hari Braille Sedunia 2018.

    Beliau juga menyampaikan sijil penghargaan kepada dua orang guru, lima orang pembantu Pendidikan Khas (SENA) serta 17 buah syarikat di atas bantuan dan sokongan mereka dalam menyediakan penempatan kerja bagi pelajar-pelajar dalam Program Pra-Vokasional.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda