Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semai kesedaran bahaya dadah

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Penyalahgunaan dadah dan pengedaran dadah adalah antara punca berlakunya penyakit sosial yang mendatangkan kerosakan kepada individu, ahli keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

    Individu yang sudah terjebak dengan ketagihan disebabkan pengambilan dadah boleh melakukan perkara-perkara yang melanggar tatasusila, hukum agama dan undang-undang negara demi mendapatkan bekalan dadah seperti menipu, mencuri, mencederakan orang, membahayakan nyawa, harta benda dan menjejaskan keharmonian serta kesejahteraan keluarga.

    Perkara itu ditekankan oleh Yang Dipertua, Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA), Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali dalam kata alu-aluannya di Majlis Pendidikan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah (PPPD) yang berlangsung di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), Gadong, kelmarin.

    Hadir di majlis berkenaan ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Khas, Awang Eddy Fazlin bin Haji Amdan, guru-guru, jemputan khas serta pelajar-pelajar maktab tersebut.

    Dalam kata alu-aluannya lagi, Datin Hajah Masni menyatakan agama Islam sangat mementingkan keharmonian dan kesejahteraan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

    Awang Eddy Fazlin dan Datin Hajah Masni bergambar ramai bersama jemputan khas semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    ATAS & BAWAH: Antara pelajar yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    “Selaku ahli masyarakat yang prihatin, kita perlu bersikap tidak lepas tangan, tidak camah mata atau sekadar memerhatikan berlaku kemungkaran di sekeliling kita.

    “Oleh itu, tema kebangsaan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram (IDADAIT) pada tahun 2021 iaitu Amal Maaruf, Nahi Mungkar: Tanggungjawab dan Keprihatinan Masyarakat dalam Mencegah Kegiatan Pengedaran Dadah dipilih untuk menumpukan perhatian kepada sindiket dadah dan rangkaian keluarga pada tahun tersebut,” tambahnya.

    Majlis berkenaan merupakan anjuran Maktab Duli bersama Persatuan BASMIDA dan Persatuan Ibu bapa dan Guru Maktab Duli di mana ia bermatlamat untuk bersama-sama meningkatkan kesedaran dan kefahaman terhadap bahaya pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang membawa kepada ketagihan yang memusnahkan masa depan para pelajar.

    Majlis tersebut memberikan penekanan mengenai penyampai-an maklumat dan kesedaran dalam kalangan pelajar untuk mencegah diri mereka daripada terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah haram yang boleh membawa kepada ketagihan dan kerosakan harapan masa depan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda