Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 26 April – Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA) dan Takaful Keluarga Sdn Bhd (TBK), Insurans Islam TAIB Sdn Bhd (IITH), hari ini, telah meneruskan lagi Kempen Celik Kewangan bagi Daerah Tutong yang diadakan di Sekolah Rendah Muda Hashim, Tutong. Lebih 50 orang murid dari sekolah-sekolah rendah di daerah ini telah dijemput untuk menyertai kempen berkenaan. Turut hadir bagi mengetuai rombongan IITH ialah Pegawai Pemasaran, Awang Halidan Halidi bin Bundan.
Dengan bertemakan ‘Let’s Play Shop!’, aktiviti berkenaan membolehkan kanak-kanak memilih barangan yang dimahukan, mengira kos untuk membeli dan berapa banyak usaha yang diperlukan untuk menyimpannya, sambil melatih tahap celik kewangan mereka.
Selain itu, kanak-kanak secara rambang berada dalam ‘keadaan yang tidak dijangka’ untuk membolehkan mereka mengetahui bagaimana insurans dapat membantu mereka.
Pada acara tersebut, penganjur telah menyediakan permainan dan aktiviti perancangan kewangan untuk menekankan perbezaan perbelanjaan antara keperluan dan keinginan serta pengurusan kewangan yang bijak, pada masa yang sama bagi menggariskan kepentingan belanjawan.
Dengan adanya kempen berkenaan, ia akan memberi manfaat kepada pelajar untuk belajar tentang simpanan, pelaburan dan penggunaan kredit sekali gus menggalakkan pelajar menggambarkan bagaimana golongan muda boleh menubuhkan dan mengekalkan tabiat kewangan yang sihat.
