Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Paintball Arena @ Jerudong (PAJ) mengalu-alukan penyertaan wanita dalam sukan paintball selepas melancarkan Hari Paintball Wanita buat kali pertama di Kompleks Sukan Jerudong kelmarin.
Acara yang disertai oleh semua peserta wanita telah diadakan bagi memberi kesedaran mengenai sukan kegemaran dalam persepsi masyarakat yang mengkategorikan sukan itu didominasi oleh golongan lelaki.
Ketua Paintball, Awang Amar Dini Agus Din berkata, “Paintball adalah sukan berpasukan tanpa bersentuhan yang mana tidak membenarkan pemain untuk bersentuhan dan terjahan. Objektif sukan ini ialah menyingkirkan pihak lawan dengan menggunakan penanda paintball dengan pelet paintball.”
Beliau kemudian menambah, ”Acara tersebut diadakan bagi memberi kesedaran mengenai sukan yang selalunya didominasi oleh golongan lelaki selain sebagai aktiviti bersuka ria.”
Awang Amar berkata bahawa acara itu telah menampilkan kesemua pemain wanita yang mana sebelum ini belum pernah diadakan. Kira-kira 50 orang peserta telah dibahagi-bahagikan kepada lima pasukan untuk mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan.
Seramai 80 peratus pemain yang menyertai acara tersebut merupakan pemain yang baharu sementara yang lain pernah menyertai sukan tersebut sebelum ini. Menurut penganjur, acara tersebut bukan satu kejohanan tetapi hanya perlawanan persahabatan.
Semasa taklimat keselamatan, Awang Amar menekankan peraturan asas termasuk memakai penutup mulut dan hidung pada setiap masa semasa berasa di dalam kemudahan tersebut dan mendengar arahan marsyal yang bertugas sepanjang masa. Beliau turut menjelaskan bagaimana untuk membezakan pemain aktif dan pemain yang sudah disingkirkan.
Jika peserta tidak pasti jika mereka telah disingkirkan, mereka boleh merujuk kepada marsyal untuk mengetahui sama ada mereka dibenarkan untuk meneruskan perlawanan atau tidak. Yang paling penting, peserta mesti mendengar arahan marsyal terutama semasa memulakan dan menamatkan permainan.
