Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Bagi mendedahkan kepentingan kesihatan kepada wanita, mahasiswa Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS) hari ini menganjurkan Festival Kita Memperkasa Kesihatan Wanita di Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Hadir merasmikan festival itu ialah Presiden Persatuan Jururawat Brunei Darussalam (PENJURU), Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah.
Festival diisikan dengan beberapa pameran dan pemeriksaan tekanan darah percuma selain aktiviti seperti sesi Zumba dan Muay Thai yang dikelolakan oleh Fitness Rebel, demonstrasi karate oleh Shokotan Karatedo Brunei Darussalam, kejohanan dodgeball dan pelbagai lagi.

Festival juga bertujuan menyemai pendidikan kesihatan kepada para wanita melalui pemeriksaan kesihatan percuma, taklimat kepentingan pemeriksaan awal kanser payudara, nutrisi kesihatan dan penjagaan kesihatan melalui senaman dan lain-lain.
Acara ini merupakan sebahagian daripada modul pembelajaran khas tahun akhir mahasiswa PAPRSB IHS sebelum memasuki sekolah perubatan di luar negara. Ia juga disokong oleh Kristal-FM, Aewon Brunei, Fitness Rebel, Subbstation, UBD Dodge-ball Club, Century Travel, Redbull, Brunei Halal, Cuckoo, Shotokan Karatedo Brunei dan RAFX Lab.