Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Bagi menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial di kalangan remaja, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Sekolah Menengah Lambak Kiri telah mengadakan Program Rakan Remaja Penerangan (RRP) yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar.
Taklimat bertajuk Raja Kita, menghayati bendera dan lagu kebangsaan negara yang dihadiri oleh seramai 316 pelajar Tahun 9 dan 10 sekolah berkenaan itu disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Dayang Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya.
Program RRP turut dimeriahkan dengan tayangan video klip Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara.
Antara lain tujuan program itu diadakan adalah untuk mendekati remaja di sekolah-sekolah supaya peka dengan perkembangan dan hal ehwal sekeliling.
Di samping menjadikan pelajar sebagai ejen dalam penyebaran maklumat yang positif dan berkesan kepada rakan sebaya.
Selain itu untuk memberikan sivik dan semangat kenegaraan terutama kepada golongan remaja ke arah pembentukan minda dan moral positif dan amalan untuk mendekati golongan belia dan remaja di sekolah melalui seni hiburan yang terarah dan terpimpin.
Turut hadir pada program tersebut ialah Pengetua Sekolah, Dayang Rosmahwati binti Mohammad, timbalan pengetua dan tenaga pengajar sekolah.
