Oleh Siti Nur Wasimah S.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Bagi memastikan masjid sebagai rumah Allah S.W.T paling digemari dan tidak asing dalam kalangan masyarakat, Kumpulan Belia Syababul Iman buat julung-julung kalinya menganjurkan Karnival Cinta Masjid: Lakastah ke Masjid yang dirasmikan hari ini.
Hadir menyempurnakan majlis perasmian karnival itu di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.
Karnival berlangsung sehingga 2 April itu diisikan dengan pelbagai aktiviti menarik orang ramai mengimarah dan menghidupkan masjid seperti pameran, pertandingan, walkaton, acara berbasikal, kempen derma darah, ceramah, forum umum dan juga aktiviti lain.
Selain itu, ia dihasratkan dapat mendidik masyarakat memahami fungsi masjid sebenarnya.

