Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 30 Sept – Dengan matlamat untuk menjadikan masjid sebagai pusat pengetahuan dan kegiatan sosial untuk seluruh masyarakat Islam di negara ini, Kumpulan Belia ‘IbadurRahman dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT) telah mengadakan Program Riadah Ria 2.0 di masjid berkenaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang sekali gus merasmikan program berkenaan.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dalam ucapan ringkasnya menyarankan agar para belia sentiasa menyemai dalam diri dan jiwa akan kecintaan kepada Allah SWT dengan penuh rasa kesyukuran dan keikhlasan dan begitu juga mentaati kitab Al-Quran, pesuruh Allah, agama Islam, negara, pemimpin, keluarga, ibu bapa, para guru dan juga masjid agar kehidupan sentiasa dalam kasih sayangNya.
Tambahnya, jika para belia sentiasa memegang prinsip kecintaan itu maka ia secara tidak langsung akan mewujudkan suasana kehidupan akan sentiasa dipenuhi dengan rasa ketenangan, keamanan dan kejayaan di dunia dan juga akhirat.
Beliau turut melahirkan harapan agar para belia sentiasa kuat dan berfikiran jauh serta berwawasan tinggi dalam menerajui kehidupan yang penuh cabaran mendatang di dunia ini.


Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain, pegawai-pegawai hal ehwal masjid, imam MHBPT, ahli-ahli Jawatankuasa Takmir MHBPT, Kumpulan Belia ‘IbadurRahman dan para jemaah masjid.
Program sehari itu telah dimulakan dengan sembahyang Fardu Subuh berjemaah diikuti dengan ceramah bertajuk ‘Membangun Keluarga Sihat’ yang disampaikan oleh Mantan Pengarah Perkembangan Kurikulum, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi yang juga penceramah bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).
Selepas perasmian program, video bertemakan ‘Your Journey Starts Now’ daripada Kumpulan Belia ‘IbadurRahman turut ditayangkan sebelum diteruskan dengan aktiviti walkaton setelah sesi pemanasan badan di kawasan letak kereta masjid berkenaan.
Dalam pada itu, tetamu kehormat majlis juga menandatangani poster riadah sebagai penghargaan dan kemudian menyaksikan pameran yang dimeriahkan oleh Pusat Promosi Kesihatan (HPC), Brunei AIDS Council (BDAC), Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah serta Kumpulan Belia ‘IbadurRahman.