Semai sifat patriotik

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Lyna Mohamad

TUTONG, 18 JAN – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Komunikasi Strategik telah mengadakan Program Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di Auditorium Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Daerah Tutong, hari ini.

Program tersebut telah dihadiri oleh pengetua sekolah berkenaan, Dayang Rozieana binti Haji Zini dan tenaga-tenaga pengajar.

Taklimat Kenegaraan disampaikan oleh Pemangku Penolong Pegawai Penerangan, Jabatan Penerangan, Dayang Zurairah binti Haji Lisa kepada seramai 142 orang penuntut Tahun 7.

Dalam taklimat tersebut beliau menyentuh mengenai raja kita, tatacara menaik kibarkan bendera negara dan sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci.

Program tersebut diadakan sebagai salah satu usaha berterusan jabatan tersebut untuk menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.

Selain itu program tersebut juga turut dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut. Dalam program tersebut para penuntut juga berpeluang menyaksikan klip video ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ dan video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera Negara’.

Salah seorang penuntut menerima hadiah selepas berjaya menjawab kuiz.
Antara pelajar yang hadir mendengarkan taklimat tersebut.