BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Seramai 200 orang penggemar bunga hari ini menyertai Pertandingan Bunga dan Aneka Jualan sempena Sambutan Hari Keluarga 2021 yang berlangsung di salah sebuah kediaman seorang penduduk di Kampung Jerudong B.
Pertandingan yang menampilkan lapan kategori itu menyaksikan Dayang Mahani binti Haji Lamudin dinobatkan sebagai pemenang Best of the Best, manakala itu, Kategori A (Caladium Tempatan) dan B (Caladium Hibrid) dimenangi oleh Awang Mohd Isa bin Haji Mohd Yusof dan Kategori C (Alocasia) pula dimenangi oleh Dayang Rozinah binti Haji Jais.
Dalam pada itu, Kategori D (Colocasia) pula dimenangi oleh Haji Kamal bin Haji Tuah; juara Kategori E (Bunga Ati-ati sepohon) disandang oleh Dayang Hartini binti Haji Ujan dan Kategori G (Bunga Ati-ati lebih sepohon) dimenangi oleh Dayang Rozinah binti Haji Jais,
manakala bagi Kategori G (Bunga Tidak Berdaun) dan Kategori H (Bunga Berdaun) dimenangi oleh Dayang Mahani binti Haji Lamudin.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Keluarga Allahyarham Awang Dagang bin Tuah buat julung-julung kalinya itu telah mendapat sambutan menggalakkan dan ia dihasratkan dapat menyemai sikap cintakan tanaman hiasan sekali gus memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan keluarga itu dan orang sekitarnya.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Kampung Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang.
Pertandingan turut diserikan dengan aneka jualan termasuklah bunga-bungaan, kraf tangan pertukangan dan beraneka masakan serta kuih-muih tradisi puak Kedayan yang disertai 20 buah keluarga.
