Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semak semula borang,tepati syarat pencalonan

    KOTA KINABALU, 30 DIS – Semua bakal calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen  Kimanis   perlu membuat semakan awal pengisian borang pencalonan mereka di Pejabat Pegawai Pengurus iaitu di Pejabat Daerah Beaufort atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum hari penamaan calon.

    Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata ia bagi memastikan semua bakal calon mengisi  borang itu dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan bagi mengelak berlakunya kesilapan pengisian borang berkenaan semasa penamaan calon.

    Beliau berkata langkah itu bagi menjamin proses penamaan calon dapat berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan selain memberi peluang kepada parti-parti yang calonnya didapati tidak layak semasa semakan awal untuk membuat persiapan sewajarnya sebelum hari penamaan calon.

    “Bagaimanapun adalah ditegaskan bahawa kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon dan penyokong atau pencadangnya kepada pegawai pengurus semasa hari penamaan di pusat penamaan calon pada Sabtu, 4 Januari depan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

    Selain itu, Azhar berkata bakal calon juga diminta untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan mengambil pas-pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki pusat penamaan calon.

    Katanya langkah itu untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada hari penamaan calon. – Bernama

    Gambar fail pada 16 Disember lalu menunjuk-kan Datuk Azhar Azizan Harun mendengar penerangan daripada Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kimanis, Jupari @ Jupry Etok (kiri) selepas sidang media pengumuman tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu di ibu pejabat SPR. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda