KUCHING, 10 OKT – Jumlah rakyat Sarawak yang pulang ke negeri itu bagi menyumbang kepada pembangunan Sarawak semakin meningkat,” kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada ketika Sarawak kini bersedia menjadi hub industri semikonduktor, beliau berkata sejumlah 20 jurutera yang pengkhusuan mereka dalam industri itu, telah kembali dari luar bagi merealisasikan usaha negeri itu dalam mereka bentuk dan menghasilkan mikrocip yang mempunyai permintaan tinggi.
“Pada masa ini, kita kekurangan pereka bentuk (cip), kerana kita telah pun membina Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor. Kita memerlukan ramai jurutera dan kita telah mengambil 20 (rakyat Sarawak) yang akan pulang dari luar negara.
“Kita memerlukan 30 lagi jurutera (rakyat Sarawak) untuk sebuah syarikat semikonduktor, X-Fab,” katanya ketika berucap di majlis makan malam Anugerah Kecemerlangan Industri Premier Sarawak, di sini malam tadi. – Bernama


