Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semakin ramai wanita Korea Selatan menganggur

    SEOUL. 29 MEI – Bilangan wanita berumur 15 hingga 34 tahun yang tidak mahu bekerja telah mencecah sebanyak 590,000 pada 2024, berbanding 197,000 daripada 2019, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Maklumat Pekerjaan Korea yang dikendalikan kerajaan baru-baru ini.

    Laporan itu berdasarkan tinjauan terhadap 3,189 wanita muda yang berkata mereka sedang berehat sepanjang tahun lalu.

    Individu-individu ini, yang digambarkan sebagai ‘tidak aktif’ dari segi ekonomi, telah berhenti mencari kerja dalam tempoh satu hingga tiga tahun selepas menamatkan latihan kerja atau menerima faedah dari sebarang pekerjaan.

    Purata tempoh rehat mereka pada Disember 2024 ialah 22.7 bulan dengan sebab yang paling biasa untuk berehat adalah kurangnya keinginan untuk mencari pekerjaan (38.1 peratus), diikuti dengan tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan diri (35 peratus), keletihan (27.2 peratus) dan isu psikologi (25 peratus).

    Walaupun lebih ramai lelaki daripada wanita yang ‘tidak aktif’ secara keseluruhan, bilangan wanita telah meningkat secara berterusan sepanjang dekad yang lalu, menurut data.

    Dalam kalangan golongan muda berumur 15 hingga 24 tahun, bahagian wanita yang tidak aktif meningkat daripada 40 peratus pada 2015 kepada 42.3 peratus pada 2024. Dalam kalangan mereka yang berumur 25 hingga 34 tahun, bahagian wanita juga meningkat daripada 35 peratus kepada 40.9 peratus.

    Dari segi pendidikan, peratusan graduan kolej yang tidak mencari kerja meningkat daripada 19.4 peratus pada 2015 kepada 23.7 peratus pada 2024 di kalangan golongan muda, dan daripada peningkatan 54.3 peratus kepada 58.8 peratus di kalangan individu yang lebih tua.

    “Kerja yang tidak sepadan telah menjadi sebab utama kerana kekurangan peluang pekerjaan yang sesuai untuk tahap pendidikan golongan muda,” kata laporan itu.

    Bilangan orang yang tidak pernah cuba mencari pekerjaan juga telah meningkat dengan ketara.

     Bahagian orang yang telah mencari pekerjaan sejurus sebelum berehat turun kepada 29.1 peratus daripada 41.8 peratus pada 2015.

    Apabila ditanya sama ada mereka mahu mula bekerja jika pekerjaan ditawarkan, 99.9 peratus responden berumur 15 hingga 24 tahun berkata ‘ya’ pada 2015. Namun menjelang 2024, 24 peratus daripada responden berumur 15 ke 24 dan 20.1 peratus daripada responden berumur 25 ke 34 berkata ‘tidak’.

    “Penurunan dalam kemungkinan untuk mencari kerja berbanding dengan masa lalu, menunjukkan bahawa tempoh status ‘tidak aktif’ boleh menjadi lebih lama,” kata laporan itu. “Kurangnya kesanggupan untuk bekerja juga mungkin menyumbang kepada trend ini.”

    Sehingga bulan lalu (April), 415,000 orang muda berumur 15 hingga 29 tahun sedang berehat dan telah meningkat 15,000 daripada bulan yang sama tahun lepas. Ini juga menandakan kenaikan bulanan sepanjang tahun yang berturut-turut. – ANN/The Korea Herald

    Sebab yang utama untuk ‘berehat’ adalah kurangnya keinginan untuk mencari pekerjaan; diikuti tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan diri; keletihan dan isu psikologi. – ANN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda