PETALING JAYA, 3 OKT – Setelah lima bulan berehat selepas menjalani pembedahan jantung, impian jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang untuk memburu emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024 masih menyala.
Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu berkata meskipun perlu ‘memulakan semula’ segalanya selepas menghadapi masalah kesihatan, perkara itu tidak melunturkan semangatnya untuk bertekad naik ke podium dengan kilauan emas di pentas berprestij itu.
“Ramai orang tanya saya, masih nak lalui semua sekali lagi ke, jawapan saya semestinya nak, malah mak dan isteri pun dah cakap untuk berhenti tapi saya ada penetapan minda, saya nak buktikan pada diri saya, tiada yang mustahil.
“Dapat tak dapat (emas) di Paris itu cerita yang berbeza, ia tentang kita cuba dan usaha, saya harap apa yang saya buat dapat memberi inspirasi anak muda dan generasi akan datang,” katanya kepada pemberita selepas diperkenalkan sebagai Duta Gardenia pada majlis pelancaran penjenamaan semula Gardenia Breakthru di sini hari ini.
Atlet berusia 34 tahun itu berkata beliau sebelum ini telah berbincang dengan ketua jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan, John Beasly untuk menyertai beberapa perlumbaan pada Disember ini sebagai pemanas badan sebelum ke Paris.
Atlet yang dikenali the Pocket Rocketman pada masa sama turut menyasarkan kilauan pingat pada temasya Sukan Asia terakhirnya di Hangzhou tahun depan. – Bernama
