Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
KENANGAN susah senang kehidupan pada zaman dahulu memang terasa di mana orang tua (ibu bapa) dan adik-beradik pergi ke laut untuk mencari mata pencarian dengan memukat ikan, merambat, membintur ketam, memancing ikan, menangkap udang dan mengambil kupang. Pendek kata, pekerjaan atau mata pencarian utama warga pada zaman dahulu adalah sebagai nelayan.
Hidup warga pada masa itu sungguh membanting tulang, tanpa mengira penat lelah mahupun berhujan berpanas untuk mencari rezeki. Apabila mereka dapat menangkap atau memperoleh ikan yang begitu lumayan banyaknya, ia akan dibawa dan dijual di kawasan tembok tambing. Orang ramai setentunya sudah banyak menunggu di kawasan tersebut, menantikan ikan-ikan segar yang dibawa oleh pemukat. Harga ikan pada masa itu sangat murah sehinggakan orang ramai berebut-rebut untuk membelinya. Semua itu masih segar dalam ingatan penulis.
Selain dari itu, untuk mendapatkan air bersih pada ketika itu adalah sangat sukar jika dibandingkan sekarang.



Air bagi kegunaan harian seperti memasak, minum dan sebagainya perlu diambil melalui Telaga Kandang Batu, Telaga Pengiran Sabli dan tangki besar di bawah Istana Darul Hana, yang mana disediakan untuk para penduduk di kawasan Kampung Tamoi dan kawasan sekitarnya. Air akan diisi ke dalam bekas tin minyak tanah yang sudah dibersihkan, di samping tajau, ipang dan dram.
Perkataan seperti ‘Bekarih, Bejarih, Belurih’ sudah lama diadaptasikan oleh masyarakat Brunei sejak dari dahulu lagi, terutama apabila hendak berjalan, memukat ke laut, mengambil air, berniaga dan lain-lain lagi. Ungkapan tersebut sudah sering diperkatakan sekitar tahun 1950 oleh golongan datuk, nenek dan ibu bapa zaman dahulu, untuk memperingatkan kepada anak-anak mereka supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hasil yang dimahukan.
Hingga sekarang ungkapan tersebut terus mekar disebutkan untuk menyuntik semangat penduduk di negara ini.