Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semangat berpasukan ‘kunci’ raih emas

    KUALA LUMPUR, 15 MAC – Semangat berpasukan yang tinggi berupaya menjadi kunci kejayaan skuad sepak takraw lelaki negara untuk merangkul lebih daripada satu pingat emas, pada Sukan SEA ke-32 di Phnom Penh, Kemboja, 5 hingga 17 Mei ini.

    Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebelum ini menyandarkan sasaran dua pingat emas pada acara double lelaki dan chinlone yang merupakan sukan kebangsaan Myanmar.

    Bagaimanapun, skuad kebangsaan yang akan turut berentap dalam acara regu berpasukan dan antara regu pada temasya dwitahunan itu, sebenarnya berpotensi mencipta kejutan meraih emas dalam salah satu acara berkenaan biarpun cabaran jaguh dunia, Thailand menanti.

    Ketua Jurulatih Kebangsaan Ahmad Jais Baharun berkata hanya elemen semangat berpasukan dan komitmen tinggi pemain dapat memastikan Malaysia mengukir kejayaan membanggakan di Kemboja.

    “Ia (elemen-elemen) sedang dipupuk dalam setiap pemain, kita nampak dari hari ke hari semangat ini semakin bertambah, mungkin boleh jadi kunci kejayaan kepada pasukan di Sukan SEA,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

    Pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lepas, skuad sepak takraw lelaki negara gagal membawa pulang emas dan sekadar meraih tiga perak dalam acara regu berpasukan, antara regu dan double. Pingat emas acara regu berpasukan dan antara regu menjadi milik Thailand sementara Indonesia merangkul emas double.

    Kali terakhir Malaysia meraih emas menerusi acara antara regu lelaki ialah ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017, namun ketika itu acara tersebut tidak disertai Thailand. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda