Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semangat dan wajah ceria rakyat di majlis bersejarah

    Oleh Normazlina M.D, Yusrin Junaidi, Sahama dan Zulkamal Haji Kamis

     

    BANDAR SERI BEGAWAN – Di saat-saat menyambut Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-50 tahun menaiki takhta, para belia kelihatan bersemangat dalam sama-sama meraikan majlis yang bersejarah yang amat dinanti-nantikan itu.

    Menurut Awang Mohd Zainul-Akhyaar bin Haji Amer Hairunuddin dan Awang Mohd Adi Aisamuddin bin Mat Bakar, mereka sudahpun tiba di bandar seawal jam 5 pagi dan tidak sabar untuk mengambil gambar kenangan Baginda Sultan semasa majlis perarakan di Bandar Seri Begawan biarpun dalam keadan yang dipenuhi orang.

    Ini kerana jarang sekali kita melihat pemerintah negara memerintah negara mencapai 50 tahun dan kita selaku penduduk Brunei merasa bersyukur terhadap pemerintahan Baginda Sultan yang aman dan makmur, jelas dua orang mahasiswa Universiti Islam Sultan Sharif Ali itu.

    Mereka turut menasihati para belia agar menjadikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai inspirasi dan contoh terbaik untuk para belia yang lain.

    Ini kerana Baginda Sultan telah pun menaiki takhta sejak umur Baginda 21 tahun dan sudah pasti Baginda Sultan mempunyai tanggungjawab yang besar kepada negara dan rakyatnya serta Alhamdulillah dengan pemerintahan Baginda, Negara Brunei Darussalam membangun dengan pesat, aman dan makmur.

    Pancaragam pasukan Polis Diraja Brunei tidak ketinggalan menjayakan upacara perarakan jubli emas 50 tahun.
    Awang Mohd Zainul-Akhyaar dan Awang Mohd Adi Aisamuddin tidak sabar untuk mengambil gambar Baginda Sultan di majlis perarakan yang penuh bersejarah.

    “Hamba Kebawah Duli Tuan Patik ingin menyembahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan di atas sambutan Jubli Emas ini dan mendoakan semoga Allah memelihara Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan melanjutkan usia Baginda dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam.”

    Manakala itu, Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei merafak sembah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas Sambutan Jubli Emas Ke-50 Tahun.

    Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei berdoa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa sihat walafiat dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan aman dan damai, adil dan beragama mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

    Guru-guru Sekolah Rendah Jalan 49 sama-sama meriahkan sambutan Jubli Emas.
    Guru-guru Sekolah Rendah Jalan 49 sama-sama meriahkan sambutan Jubli Emas.

    Seramai 50 orang anggota Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei terlibat dalam upacara berkenaan yang diketuai oleh DSP Haji Mohammad Noor bin Haji Abd Rahman, selaku Pemangku Pengarah Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei.

    Sementara itu, murid-murid Sekolah Rendah Haji Tarif, Kampung Tamoi Tengah, Kluster 2 juga tidak ketinggalan mengambil bahagian sempena sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

    Terpancar di wajah keceriaan murid-murid sekolah berkenaan dan tidak sabar untuk sama-sama mengibarkan bendera kebangsaan di hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Guru-guru Sekolah Jalan 49, Kluster 3 dan pegawai Jabatan Sekolah-sekolah juga memanjat rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dapat sama-sama memeriahkan Sambutan Jubli Emas kali ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda