Oleh Nurdiyanah R. –
Ibarat dunia kecil dalam sesebuah masyarakat, itulah analogi bagi mengenal erti sebuah keluarga. Dunia kecil itulah yang menjadi permulaan kepada sesebuah kehidupan untuk mendapatkan ketenangan dan kedamaian.
Semua itu mestilah disulami dengan kasih sayang, keyakinan dan kepercayaan, keselamatan serta keikhlasan agar mampu mewujudkan mahligai kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga.
Sudah menjadi lumrah kehidupan seharian tidak terlepas daripada sebarang cabaran yang datang silih berganti. Kesibukan dalam menanai amanah dan tanggungjawab seperti mengurus rumah tangga, keperluan anak-anak, dan pekerjaan di mana semua itu sudah menjadi asam garam dalam mewarnai kehidupan berkeluarga mahu pun peribadi.
Benar tiada kehidupan yang sempurna kerana lumrah manusia memiliki pasang surut dalam melayari bahtera kehidupan. Namun hakikatnya, apa yang kita perlukan dalam kehidupan adalah keseimbangan hidup.
PENTINGNYA MELUANGKAN MASA BERIADAH
Begitu penting dalam sesebuah keluarga itu mencari masa beriadah di mana-mana sambil menimba pengetahuan dan pengalaman, itulah yang sepatutnya diamalkan terutamanya dalam mengisi masa lapang pada hujung minggu.
Dengan adanya kegiatan sebegini, ia menjadi salah satu usaha untuk mendidik anak-anak bagi memberanikan diri untuk terlibat secara positif dengan persekitaran dan lingkungan masyarakat.
Perkara berkenaan antara pandangan peribadi daripada salah seorang penduduk yang berasal dari Kampung Buda-Buda, Daerah Temburong, Awang Saifulizan bin Haji Abdullah semasa berkesempatan ditemui Media Permata sewaktu melakukan aktiviti riadah santai bersama ahli keluarga di kawasan Gerai Permata Hijau, Pekan Bangar, Daerah Temburong.
Beliau menambah, antara kegiatan yang dapat dilakukan seperti mengadakan aktiviti kenali negara kitani, sebagai contoh membuat lawatan ke tempat-tempat menarik di negara sendiri seperti muzium-muzium, pantai atau tempat bersejarah.
“Kegiatan sebegini boleh dikatakan sebagai lawatan sambil belajar, sehingga sama-sama memperolehi sebuah detik pengalaman yang jauh perjalanan dan luas pemandangan.
“Pastinya inilah salah satu cara terbaik bagi mengisi masa lapang bersama anak-anak daripada hanya bermain permainan menerusi telefon bimbit semasa berada di rumah, maka dalam hal ini mereka dapat meningkatkan daya komunikasi bersama orang ramai,” jelasnya.
Sebelum mengakhiri kata-kata, Awang Saifulizan turut mengatakan paling tidaknya kita boleh juga mengadakan perhimpunan seluruh ahli keluarga besar seperti menikmati makan tengah hari, minum petang bersama atau menganjurkan beberapa permainan santai yang bersesuaian bersama-sama dengan hasrat untuk menambah erat pertalian dan keakraban kekeluargaan.
PRODUK KRAF TANGAN SUMBER PENDAPATAN SEKELUARGA
Dalam pada itu, penulis turut berpeluang menyaksikan kegigihan salah sebuah keluarga berasal dari Kampung Temada, Daerah Temburong yang berjaja di pekan di daerah yang turut terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’ itu di mana mereka mengetengahkan pelbagai produk istimewa berasaskan seni kraf tangan anyaman.
Ia menjadi salah satu sumber pendapatan keluarga berkenaan sekali gus bersama-sama memanfaatkan waktu lapang pada hujung minggu.
Selaku salah seorang ahli keluarga yang sudah lama berkecimpung dalam perusahaan seni kraf tangan anyaman secara persendirian melebihi 10 tahun itu, Dayang Siti Mariam binti Abdullah berkata antara produk yang diketengahkan ialah pelbagai rekaan dan saiz bakul serba guna, tikar dan beg yang diperbuat daripada bahan-bahan rotan, plastik dan juga benang berwarna-warni yang terpilih.
Insan berusia 58 tahun itu berkongsi lagi, kemahiran seni kerajinan tangan yang dimilikinya itu diwarisi daripada nenek beliau dan kemudian dimantapkan lagi dengan perkongsian daripada rakan-rakan setempat yang memiliki minat yang sama.
“Proses menganyam tidak mengambil masa yang lama hanya memerlukan antara dua ke tiga hari tetapi cabaran dalam penyediaan bahan rotan itu sahaja yang memerlukan lebih masa bagi melakukan proses-proses tertentu,” ujarnya.
Menyentuh secara ringkas proses pembuatan bakul anyaman daripada bahan asas semula jadi seperti rotan, Dayang Siti Mariam berkata kebiasaannya rotan diperolehi di kawasan hutan persekitaran kampung yang kemudiannya dicuci bersih sebelum rotan-rotan itu dibelah halus menggunakan pisau peraut khas secara manual.
Ini diikuti dengan proses pengeringan atau dijemur sehingga benar-benar kering sebelum diteruskan proses anyaman hingga selesai untuk menghasilkan rekaan dan saiz yang diinginkan.
Setelah itu, bakul-bakul berkenaan perlu direndam dalam air panas yang mendidih bercampur garam.
“Proses rendaman ini begitu penting dilakukan untuk membuatkan bahan rotan yang dijadikan bahan asas bagi produk yang dihasilkan itu tahan lama mahu pun tidak berkulat.
Kemudian baharulah dilakukan proses mengecat dengan cat terpilih berupa sejenis pengilat agar warna semula jadi rotan tetap terserlah,” kongsi beliau.
Selain itu, mereka sekeluarga juga mengetengahkan produk anyaman barangan perhiasan dalaman rumah seperti replika tumbuhan sumboi-sumboi pelbagai saiz.
Dayang Siti Mariam bersama ahli keluarga lain yang juga menjalankan perusahaan mereka di bawah Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lepong Baru itu turut berharap golongan generasi muda di negara ini khususnya dalam kalangan penduduk setempat untuk meluangkan masa mereka mempelajari kesenian kraf tangan sebegini agar ia tidak hilang begitu sahaja.
“Kalau bukan anak-anak muda yang mewarisi kemahiran ini siapa lagi yang kita harapkan.
Pelajarilah bersama dengan tunjuk ajar golongan veteran agar keaslian seni ini dapat dikekalkan sebaik-baiknya,” ujarnya tulus.
Anak perempuan Dayang Siti Mariam, Dayang Rostina pula berkata seni kraf tangan anyaman bukan hanya mampu menjana pendapatan bagi sesiapa sahaja yang rajin berusaha namun setiap hasil seni berkenaan juga bagaikan terapi minda dan jiwa dalam mengisi masa terluang bersama ahli keluarga dan saudara mara.