Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semangat jiwa anak Melayu

    KUANTAN – Tokoh pejuang kemerdekaan Malaysia Mat Kilau pernah ditembak di bahu kanan, namun perkara itu sedikit pun tidak melunturkan semangatnya untuk menentang pejajahan Inggeris.

    Cucu tokoh pahlawan itu, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 53, berkata daripada kisah yang diperturunkan oleh anggota keluarga yang lebih tua, kejadian itu berlaku di Jeram Ampai, Jerantut dekat sini, pada 29 Jun 1894.

    “Semasa itu, Mat Kilau dikatakan menyerang kubu tentera British bersama ayahnya iaitu Tok Gajah dan Datuk Bahaman serta 80 pejuang yang lain. Sebaik sahaja ditembak, Mat Kilau terjatuh dan terpaksa diusung oleh pejuang lain untuk berundur ke kubu mereka di Hulu Tembeling dengan menaiki perahu. Peluru itu dikatakan telah menembusi bahagian ketiak beliau, namun Mat Kilau tidak mengalah sebaliknya meneruskan perjuangannya sebaik sajak pulih,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di sini.

    Mohd Alhamadi berkata perjuangan datuknya berterusan sehingga ditangkap sebelum diisytiharkan telah meninggal dunia pada sekitar 1885, sebelum menggemparkan negara pada 26 Disember 1969 dengan membuat kemunculan semula.  Beliau berkata sepanjang ‘kematian’ Mat Kilau, datuknya hidup dalam persembunyian di beberapa lokasi termasuk di Pattani di Thailand, Kelantan, dan Terengganu sebelum kembali ke Pahang. Di Pahang, Mat Kilau menetap di Kuantan selama hampir 30 tahun sebelum pulang ke kampung kelahirannya di Pulau Tawar, Jerantut untuk membuat ‘kemunculan semula’ sebelum meninggal dunia pada 16 Ogos 1970.

    Kisah dan catatan sejarah yang diceritakan Mohd Alhamadi itu kini tersimpan rapi di Galeri Mat Kilau di Sekolah Kebangsaan Padang Garuda di sini, yang mana beliau merupakan guru besar di situ.  Galeri itu diwujudkan pada 2017 menampilkan kronologi kehidupan, salasilah keturunan, dan kata-kata hikmat Mat Kilau merupakan cetusan idea guru-guru di situ, selepas mengetahui pertaliannya dengan tokoh pejuang tersebut.

    Perjuangan Mat Kilau boleh disifatkan berbaloi apabila beliau sempat berada dalam kelompok rakyat bagi melaungkan ungkapan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957 pada sambutan yang diadakan di Taman Kerang di sini.

    Mohd Alhamadi berkata menurut cerita daripada bapanya, Mat Kilau yang dipanggil ‘Aki’ itu sudah bersiap untuk ke bandar selepas solat Subuh dan berada dalam kelompok rakyat tanpa seorang pun mengetahui dirinya adalah tokoh pejuang Melayu.  – Bernama

    Galeri Mat Kilau di Sekolah Kebangsaan Padang Hipotesis. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda