Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semangat juang bawa Abdul Halim ke EBC

    Oleh Salawati Haji Yahya

    ‘Maaa, aku sampai maaa..,’ inilah ayat kegembiraan yang dikongsikan oleh seorang pendaki tempatan, Abdul Halim bin Adi, sambil mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam dengan megah di puncak gunung Everest Base Camp (EBC) di Nepal.

    Berada di puncak EBC di ketinggian lebih 5000 meter dari paras laut itu, sudah pasti kepenatan dan cabaran yang dilalui hilang sekelip mata ditambah lagi melihat keindahan gunung ciptaan Allah SWT yang ditutupi dengan salji putih bersih.

    Seorang bekas anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Abdul Halim bin Adi, baru-baru ini telah berkongsi kegembiraan kejayaan beliau di akuan TikTok telah meraih banyak komen ucapan tahniah atas semangat juang dan kejayaan beliau mengibarkan bendera negara di puncak EBC.

    Gambar suasana menuju ke jambatan bungee Everest

    Beliau yang telah bersara dalam pasukan tentera pada awal tahun ini, telah memilih untuk mencabar diri dalam dunia pendakian setelah sekian lama meminati aktiviti lasak ini.

    “Saya selalu melihat di media sosial seperti TikTok orang mendaki gunung, dan apabila agensi dari Malaysia, Ohana Travel, membuka penyertaan ke Everest Base Camp, saya terus tertarik, dan penyertaan ini bukan hanya semangat semata-mata, tetapi kerana rasa ingin tahu,” jelasnya kepada penulis.

    Beliau turut mengongsikan, sebelum meninggalkan Negara untuk pendakian ini telah mempersiapkan diri sama ada daripada segi mental dan fizikal di samping kelengkapan logistik di mana beliau telah menyediakan baju fleece, down jacket, sarung tangan, beanie, kasut mendaki, stokin dan pakaian thermal.

    Gambar seamasa perlaksanaan program sesi menyesuaikan diri di sebuah Kampong bernama Namche Bazaar

    Katanya, sekiranya ada kekurangan, barangan tersebut mudah diperoleh di Kathmandu dengan harga jauh lebih murah.

    Menyentuh dari segi fizikal pula jelasnya, telah menjalani latihan intensif yang dilakukan setiap hari seperti melakukan latihan berlari dan melakukan aktiviti ‘hiking’ di Bukit Saeh, Kampung Lumapas setiap hari Ahad bersama komuniti BruDiet.

    “Latihan itu membantu meningkatkan stamina dan kekuatan mental, walaupun sudah biasa dengan disiplin ketenteraan, sudah pasti untuk pendakian ini ia satu cabaran yang berbeza dan baharu, lebih-lebih lagi gunung Everest,” katanya.

    Dengan berbekalkan semangat kental, sekali gus untuk mengalami sendiri bagaimana rasanya dapat menakluki gunung yang menjadi impian bagi mereka yang suka kepada aktiviti mencabar ini, ia tidak akan berhasil tanpa adanya sokongan keluarga dan orang sekeliling.

    Ambil peluang bergambar bersama team dari Malaysia sebelum memulakan pendakian

    Baginya pula, di sebalik kejayaan yang diperoleh ini adalah berkat daripada doa dan sokongan ibunya yang menjadi sumber kekuatan utama sepanjang pendakian.

    “Ibu dan keluarga yang banyak memberi sokongan, dan sebab itulah masa baru sampai di puncak EBC, perasaan kegembiraan dan syukur sambil berkata, ‘Maaa, aku sampai maaa,’ sambil mengalirkan air mata,” kongsinya.

    Pendakian ke Everest Base Camp (EBC) yang mencapai 5,364 meter daripada paras laut itu mengambil masa tujuh hari perjalanan untuk naik itu, dan mengambil masa lapan hingga sembilan jam berjalan setiap hari, manakala tempoh untuk turun ke pula hanya mengambil masa tiga hari sahaja.

    Di sebalik kejayaan menakluki gunung EBC, sudah pasti ada cabaran yang perlu dihadapi bagi setiap pendaki, dan cabaran utama sudah pasti pendaki berhadapan dengan kekurangan oksigen, suhu sejuk yang ekstrem, ada altitud tinggi.

    Ambil peluang bergambar bersama crew ohana di Namche Bazaar
    Abdul Halim mengambil peluang bergambar bersama pemandu dari Nepal. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN ABDUL HALIM

    “Semakin tinggi kita naik, semakin kurang oksigen, nafas semakin jadi pendek, dan cepat letih,” ujarnya.

    Untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini, beliau mengambil langkah untuk berhenti sekejap untuk rehat, dan minum air dengan jumlah yang sedikit, cukup untuk membasahkan tekak.

    Sebelum memulakan pendakian, seperti lazimnya taklimat keselamatan akan diberikan oleh pemandu (malim) dari Nepal, dan juga penerangan mengenai peraturan apabila bertembung dengan haiwan seperti yak, keldai dan kuda.

    Katanya, setiap pendaki diingatkan supaya memberi laluan kepada haiwan dan berdiri di sisi bukit, bukan di tepi curam bagi mengelakkan kemalangan.

    Pengalaman pendakian EBC ini, setiap peserta juga akan menjalani sesi penyesuaian suhu badan di perkampungan Namche Bazaar, pada ketinggian sekitar 4,000 meter.

    Sesi ini, jelasnya, adalah untuk menyesuaikan badan dengan suhu dan tekanan udara sebelum mendaki lebih tinggi.

    Walaupun ini merupakan pendakian gunung pertama di luar Negara, beliau menyifatkan pengalaman ke EBC sebagai sesuatu yang sangat berharga dan menjadi kenangan sejarah dalam dirinya.

    Beliau ketika menjelaskan kepada penulis, telah membuat rancangan selama empat bulan sebelum menyertai rombongan dari Malaysia yang mana rombongan ini turut disertai beberapa pendaki dari Negara lain.

    GAMBAR SERAHAN ABDUL HALIM

    Dengan pencapaian yang diraih ini, ia akan menjadi pemangkin semangat bagi mereka yang berani mencuba aktiviti lasak dan mencabar seperti pendakian EBC ini tapi perlu diingat hendaklah mengikuti peraturan dan mempunyai pemandu yang disediakan untuk pendakian EBC.

    Beliau turut melahirkan keyakinan orang Brunei memiliki sifat tidak mudah mengalah, walaupun banyak cabaran, daripada segi persediaan mental dan fizikal, dengan berbekalkan semangat yang kuat, kejayaan pasti dapat dicapai.

    “Kejayaan ini bukan sekadar menawan puncak gunung, tetapi juga simbol ketabahan dan keberanian untuk melangkah ke fasa baharu kehidupan selepas bersara,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda