Wednesday, March 19, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semangat kebangsaan peniaga Pasar Pelbagai Barangan Gadong

    Oleh Lenna N.B.

     

    DALAM senyuman melayan pengunjung yang tidak henti-henti berkunjung, tercoret rasa bangga dan terharu menjadi rakyat Brunei.

    Peluh yang menitik setiap detik dan waktu, tidaklah setanding rasa kasih kepada pemimpin tercinta yang bernaung di bawah kibaran bendera negara. Rasa bersyukur berulangkali diucapkan di atas keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berkenan melakukan perubahan besar kepada pasar malam yang kini tampil berwajah baru, sekali gus memberikan keselesaan kepada peniaga-peniaga.

    Mengimbas rakaman sejarahnya, Pasar Malam Gadong mula beroperasi dalam tahun 1998, yang pada masa itu hanya mempunyai tiga hingga lima gerai jualan. Lama-kelamaan, gerai jualan kian berkembang mencapai kira-kira 50 gerai secara keseluruhannya. Ia merupakan sebuah platform yang disediakan oleh kerajaan Brunei untuk mendorong anak-anak tempatan memulakan perniagaan kecil mereka dengan nilai harga sewa yang sangat murah, merangkumi petak gerai, kemudahan elektrik dan air.

    Setelah kira-kira 18 tahun berada di tapak yang sama, atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, tapak baru Pasar Malam Gadong telah dibina dengan kemudahan dan kelengkapan yang lebih moden dan efisien. Berkeluasan 5,979 meter persegi, Pasar Malam kini tampil sebagai Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang baru sahaja dilancarkan perasmiannya pada 2 Februari tahun ini.

    Keprihatinan Baginda Sultan tersebut secara langsung turut menaikkan rasa semangat kebangsaan dalam kalangan peniaga-peniaga pasar malam, apatah lagi, sudah tiba waktunya Sambutan Hari Kebangsaan ke-33 tahun setelah kemerdekaan Brunei pada 1 Januari 1984. Sebalik kesibukan berjarih dan berkarih mencari rezeki, sebenarnya tercoret rasa cinta mereka kepada pemimpin, bangsa dan negara. Justeru itu, pada hari ini Media Permata mengongsikan rasa cinta anak bangsa yang turut merasai kemerdekaan dalam jiwa mereka.

    Cendol Haji Metali sudah bermula sejak tahun 1978, sebuah perniagaan yang kini diteruskan oleh anak-anak dan cucu-cucunya.
    Cendol Haji Metali sudah bermula sejak tahun 1978, sebuah perniagaan yang kini diteruskan oleh anak-anak dan cucu-cucunya.
    Dayang Sahara dan keluarga yang berdagang di Gerai B05 telahpun mula berniaga sejak mulanya Pasar Malam Gadong.
    Dayang Sahara dan keluarga yang berdagang di Gerai B05 telahpun mula berniaga sejak mulanya Pasar Malam Gadong.
    Dayang Siti Aziimatul Hamiizah merasa bersyukur dan menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana memberi ruang kepada lepasan graduan seperti beliau untuk berniaga apatah lagi dalam keadaan sukar mencari pekerjaan.
    Dayang Siti Aziimatul Hamiizah merasa bersyukur dan menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana memberi ruang kepada lepasan graduan seperti beliau untuk berniaga apatah lagi dalam keadaan sukar mencari pekerjaan.

    Ceria keluarga Dayang Sahara berniaga di Pasar Pelbagai Barangan Gadong.

    Dayang Sahara binti Haji Zain dan keluarga yang berdagang di Gerai B05 telahpun mula berniaga sejak mulanya Pasar Malam Gadong. Berpindahnya ke pasar malam baru telah memberikan rasa bersyukur kepada Allah, Maha Pemberi Rezeki, dan juga setinggi-tinggi penghargaan kepada pemimpin tercinta yang sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyatnya.

    “Hari Kebangsaan bagi kami adalah bagaimana kita sebagai anak bangsa berbangga dan bertuah menjadi rakyat Brunei, ekonomi semakin maju, usahawan-usahawan belia semakin ramai dan bersama menjadi anak bangsa yang berdikari. Hari Kebangsaan bukan terhad kepada negara yang merdeka daripada naungan atau jajahan tetapi juga anak peribuminya yang merdeka daripada terlalu bergantung kepada kerajaan, merdeka dari kesusahan dan sebagainya. Sebaliknya bersama membantu memperkembangkan dan memvariasikan industri perniagaan tanah air sekali gus menaikkan taraf kewangan dan ekonomi negara.”

    Pengiran Hajah Salamah sudah mula berniaga kuih-muih Brunei sejak 20 tahun lalu.

    Pengiran Hajah Salamah binti Pengiran Buntar pula berniaga sejak wujudnya pasar malam yang mula-mula sekali dibuka iaitu di Bandar Seri Begawan, membawakan variasi jenis kuih-muih tempatan. Perubahan pasar malam mengikut perkembangan zaman setentunya suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

    “Sebagai seorang peniaga yang sudah bermula kira-kira 20 tahun lalu dan menyaksikan perubahan pasar malam dari setahun ke setahun, setentunya ucapan terima kasih tidak mencukupi atas kemudahan-kemudahan yang telah diberikan kepada kami, tetapi saya rasa amat berharga atas kemuliaan Baginda Sultan terhadap kebajikan kami dan seluruh rakyatnya. Alhamdullillah berkesempatan meraikan Hari Kebangsaan kali ke-33 ini, bukan sahaja saya bangga sebagai rakyat Brunei, tetapi juga bangga terhadap anak bangsa kita, bangga terhadap falsafah Melayu Islam Beraja kita, bangga kepada peniaga-peniaga kita yang berkarih, dan juga bangga kerana kami masih berada di sini, mempertahankan jualan kuih muih Melayu Brunei, suatu cara menunjukkan rasa cinta kami kepada budaya bangsa Melayu Brunei.”

    Anak-anak dan cucu-cucu Haji Metali meneruskan perniagaan Cendol yang pernah popular di penghujung tahun 1970an.

    Cendol Haji Metali sudah bermula sejak tahun 1978 lagi, sebuah perniagaan yang kini diteruskan oleh anak-anak dan cucu-cucunya. Menurut Mohammad Hasanol Basri, salah seorang cucu Haji Metali, pembukaan Pasar Pelbagai Barangan Gadong telah membuka ruang untuk mereka selaku generasi muda menghidupkan semula Cendol Haji Metali yang pernah popular suatu ketika dahulu.

    Haji Awang Damit, terkenal dengan nama Haji Bosnia, telahpun mula berniaga sejak 30 tahun lalu berkata bahawa beliau amat menjunjung kasih Ke Hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang prihatin terhadap keadaan rakyatnya.
    Haji Awang Damit, terkenal dengan nama Haji Bosnia, telahpun mula berniaga sejak 30 tahun lalu berkata bahawa beliau amat menjunjung kasih Ke Hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang prihatin terhadap keadaan rakyatnya.
    Awang Jalini sudah mula berniaga sayur-sayuran segar dalam tahun 1999 turut bersyukur kerana berkesempatan merasai perubahan wajah baru pasar malam.
    Awang Jalini sudah mula berniaga sayur-sayuran segar dalam tahun 1999 turut bersyukur kerana berkesempatan merasai perubahan wajah baru pasar malam.

    “Menjunjung Kasih kepada Kebawah Duli kerana memberi peluang untuk kami membangkitkan semula cendol Mulah Nenek. Hari Kebangsaan merupakan hari gemilang untuk Brunei Darussalam, dan walaupun perniagaan nenek sudah bermula sebelum merdeka, namun kejayaan kami meneruskannya adalah suatu kebanggaan selaku anak Brunei turut mencerminkan semangat kebangsaan kami.Setentunya kami rasa bertuah menjadi rakyat Brunei.”

    Awang Jalini bin Timbang, yang sudah mula berniaga pelbagai macam sayur-sayuran sejak 17 tahun lalu

    Awang Jalini bin Timbang sudah mula berniaga sayur-sayuran segar pada tahun 1999 turut bersyukur kerana berkesempatan merasai perubahan wajah baru pasar malam. Beliau menyatakan rasa syukur ke atas kepimpinan Kebawah Duli yang berjiwa rakyat dan telah memperkenankan pasar malam baru yang dulunya, para peniaga hanya beratapkan kem-kem sementara, kini sudah mempunyai tempat di bangunan kekal.

    “Buat saya, erti Kebangsaan adalah apabila kita hidup aman damai di bumi Darussalam, dan berkesempatan meraikan Sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun merupakan suatu kebanggaan bagi kami, rakyat Brunei. InsyaAllah semoga umur panjang dan dapat bertemu lagi Hari Kebangsaan yang gemilang.”

    Siti Aishah binti Abdullah, terus bersemangat berniaga di pasar malam baru.

    Siti Aishah sudah berniaga di Pasar Malam kira-kira belasan tahun, seperti peniaga-peniaga lainnya, gembira menjadi antara peniaga yang mendapat tapak di pasar malam baru. Kelengkapan-kelengkapan yang disediakan memang tidak dapat disangkal lagi memudahkan para peniaga malah menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berkecimpung dalam bidang ini. Dalam memahami nilai kebangsaan, beliau juga mempunyai pergertian yang amat mendalam selaku seorang usahawan yang berjarih.

    “Pada pendapat saya, Hari Kebangsaan itu adalah hari bagi meraikan kemerdekaan iaitu melihat kepada rakyat yang berdaya maju, berdikari, berkemahiran dan berkebolehan. Ditambah lagi dengan dorongan Baginda Sultan yang mahukan rakyatnya merdeka, tidak bertahan-tahan dan sesungguhnya terbinanya pasar malam baru ini juga secara tidak langsung telah menanamkan semangat kemerdekaan dalam jiwa kami.”

    Amin’s Satay terdiri daripada sebuah keluarga yang telahpun mula berniaga di pasar malam sejak 10 tahun lalu.

    Dayang Kamariah bersama ahli keluarganya tidak pernah berasa malu menjual sate di pasar malam. Sudah bermula kira-kira 10 tahun yang lalu, melihat pasar malam sebagai peluang untuk menambah pendapatan seharian, apatah lagi kunjungan orang ramai yang agak memberangsangkan.

    “Saya dan keluarga ingin menjunjung kasih kepada Baginda Sultan yang sentiasa prihatin terhadap rakyat-rakyat. Nilai kebangsaan sangat besar ertinya. Pemimpin dan rakyat sama-sama berperanan menghayati erti kebangsaan itu. Kebangsaan adalah kemerdekaan kita dari segi fikiran dan kehidupan seharian seperti wajah-wajah peniaga kita yang berusaha menjana pendapatan setiap hari tanpa bergantung kepada orang lain dengan sokongan padu daripada pemimpin tercinta.”

    Siti Aishah menyatakan kelengkapan-kelengkapan yang disediakan memang tidak dapat disangkal lagi memudahkan para peniaga malah menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berkecimpung di bidang ini.
    Siti Aishah menyatakan kelengkapan-kelengkapan yang disediakan memang tidak dapat disangkal lagi memudahkan para peniaga malah menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berkecimpung di bidang ini.
    Pengiran Hajah Salamah berkata perubahan pasar malam mengikut perkembangan zaman setentunya suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.
    Pengiran Hajah Salamah berkata perubahan pasar malam mengikut perkembangan zaman setentunya suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

    Haji Awang Damit bin Haji Ismail dikenali dengan nama Haji Bosnia bersama anak-anak tercinta berniaga di pasar malam baru.

    Mereka telahpun mula berniaga sejak 30 tahun lalu. Berpindah-randah sehingga bertapak di pasar malam dan seterusnya, berada di Pasar Pelbagai Barangan Gadong. Beliau amat menjunjung kasih kehadapan Kebawah Duli yang prihatin terhadap keadaan rakyatnya, telah bertitah membangunkan ‘Mahligai Perniagaan’.

    “Mahligai Perniagaan bagi saya adalah tempat ini yang cukup lengkap dengan kemudahan-kemudahannya, suraunya walaupun kecil tetapi cukup dengan imamnya lepa-san Mesir Tahfiz Al-Quran. Kami sungguh berbesar hati apa yang disediakan untuk kami selaku hamba Allah yang ingin sentiasa mendapatkan redha Tuhan walaupun sibuk berniaga setiap hari.

    Sebagai hamba rakyat, kami bertuah hidup di bawah payung Negara Brunei Darussalam yang aman damai, apatah lagi dengan kepimpinan Baginda Sultan yang pemeduli. Alhamdullillah, Mahligai Perniagaan ini menjadikan nilai kebangsaan tahun ini lebih bererti kepada kami para peniaga.”

    Belia-belia tempatan turut gembira mendapat tapak perniagaan kekal.

    Dayang Siti Aziimatul Hamiizah binti Haji Morshidi berusia 26 tahun baru sahaja mula berniaga di pasar malam sebaik sahaja Pasar Pelbagai Barangan Gadong telah dirasmikan.

    Sebelum ini, beliau hanya berniaga secara online di media sosial dan setentunya pasar malam baru telah membuka ruang peniaga sepertinya yang telahpun menunggu beberapa tahun untuk mendapatkan tapak jualan.

    “Bersyukur dan terima kasih kepada Baginda Sultan kerana memberi ruang kepada lepasan graduan seperti kami berniaga apatah lagi dalam keadaan sukar mencari pekerjaan.

    Tahun ini, kami dapat rasakan semangat kebangsaan dalam jiwa kami apabila perubahan hidup telah berlaku dengan adanya tapak perniagaan kekal.

    Tapak ini menjadi platform untuk kami bergerak lebih maju lagi, memperkembangkan hasil jualan dan mempunyai pendapatan sendiri. Di situlah kami menjadi anak bangsa yang merdeka, semangat kebangsaan yang berkobar-kobar.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda