ULASAN OLEH RUZAINI HJ DAUD
LUMRAH sebuah kehidupan setentunya ia dipenuhi dengan pelbagai onak duri dan selaku seorang manusia yang terus kekal bersemangat untuk mengharunginya harus sentiasa tabah serta terus memperjuangkan diri ke arah mencapai nasib yang lebih baik.
Justeru, perkara inilah yang cuba ditonjolkan oleh penulis skrip, Park Hae Yung dan pengarahnya, Kim Won-suk dalam sebuah drama Korea terbaru, My Mister.
Penyanyi terkemuka Korea, IU yang pernah membintangi beberapa buah siri drama seperti Dream High dan Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo kembali beraksi sebagai pelakon utama bagi menjayakan watak Lee Ji-ah
Selain itu, dia akan bergandingan dengan beberapa pelakon lain seperti Lee Sun-kyun, Lee Ji-ah, Park Ho San, Song Sae-byeok dan ramai lagi.
Siri drama ini menampilkan mengenai kisah tiga orang adik-beradik lelaki yang menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan dan terus berusaha untuk membangkitkan semangat dalam diri mereka untuk terus mengharapkan sesuatu yang lebih positif.

Park Sang-hoon lakonan Park Ho-san merupakan seorang lelaki yang cuba bangkit dengan mengusahakan dua jenis perniagaan setelah dirinya dipecat daripada sebuah syarikat.
Bagaimanapun, perusahaan yang dilaksanakannya itu juga tidak menemui sebarang kejayaan apabila dia turut dibebani oleh hutan sehingga memaksa dia kembali untuk tinggal bersama dengan ibunya di kampung.
Sementara Park Dong-hoon lakonan Lee Sun-kyun pula merupakan anak kedua dalam tiga orang adik beradik itu yang bertugas selaku seorang jurutera di bawah sebuah syarikat pembinaan.
Dia merupakan seorang individu yang sentiasa menerapkan sikap berhati-hati dalam melaksanakan tugasannya.
Walaupun kelihatan tegas namun hakikatnya, Park Dong Hoon juga merupakan seorang lelaki yang penyayang.
Manakala, Park Ki-hoon lakonan Song Sae-byeok pula anak bongsu dalam tiga orang adik beradik itu.
Sebelum ini, dia berjaya mencipta nama apabila filem pertama yang diterbitkannnya pernah dicalonkan di Festival Filem Cannes.
Namun ternyata selepas 20 tahun kemudian, dia tetap gagal untuk memperkembangkan kariernya dalam bidang penerbitan filem.
Lee Ji-an lakonan IU pula merupakan seorang wanita yang bersemangat cekal dalam mengharungi cabaran dalam kehidupannya.
Dia bekerja sepejabat bersama dengan Park Dong-hoon namun juga melalui kehidupan sulit apabila terpaksa menanggung hutang dalam jumlah yang banyak.
Ketua pejabat di Lee Ji-an merasakan kehadiran Park Dong-hoon itu sebagai satu ancaman dan telah menugaskan wanita tersebut untuk berusaha menjatuhkannya demi memberi peluang kepada ketuanya yang berpotensi untuk dinaikkan pangkat.
Perasaan cinta ternyata tidak pernah dapat dirancang apabila wanita itu juga telah jatuh hati terhadap lelaki yang menjadi sasarannya itu.
Lalu apakah kesudahan bakal menimpa kepada empat orang individu ini adakah mereka akan terus tersekat dalam beban kehidupan atau menemui sinar kebahagiaan.
Untuk mengetahuinya jangan terlepas untuk terus menonton siri drama My Mister sehingga ke penghujungnya.