Oleh Lenna N.B.
AWAN mendung menutupi bumi Bandar Seri Begawan menandakan tidak lama lagi, tanahnya akan dibasahi air dari langit. Walaupun sinaran cahaya matahari tidak seterang seperti hari-hari yang sebelumnya, ia tidak menghalang ribuan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang tetap bersemangat dan bersiap-sedia untuk melaksanakan perbarisan lalu ke hadapan pemimpin tercinta, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Kira-kira seramai 23,000 peserta telah melibatkan diri dalam upacara perbarisan lalu di Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu kali ke-33 tahun, merangkumi 133 buah pasukan yang didahului oleh pembawa bendera negara, pembaca ikrar, pasukan bendera-bendera logo negara, yang kemudiannya diikuti dengan angkatan berpakaian seragam negara, orang-orang keperluan khas, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, sekolah-sekolah, institusi-institusi tinggi, daerah-daerah, organisasi-organisasi swasta, persatuan-persatuan bukan kerajaan, dan diakhiri dengan perbarisan lalu Pasukan Cemerlang, yang terdiri daripada barisan belia-belia yang telah menyumbangkan bakti mengharumkan nama negara di peringkat serantau dan antarabangsa.
Sedari awal jam 5.00 pagi, peserta-peserta ini berkumpul di ibu kota negara dengan semangat yang berkobar-kobar. Ternyata cuaca yang mendung langsung tidak mencerminkan perasaan yang terpahat di dalam jiwa mereka yang bersinar-sinar di mana ia memperlihatkan semangat patriotism dalam meraikan Hari Kebangsaan.
Menariknya, setiap pasukan perbarisan berpakaian seragam mengikut tema masing-masing sama ada berkaitan dengan karier tugasan mereka, warna rasmi organisasi atau persatuan, pakaian tradisi budaya bangsa dan sebagainya.
Maka berserilah acara perbarisan lalu dengan sangat indah yang menampilkan warna-warni pakaian para peserta perbarisan yang berjalan serentak menuju ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Turut memeriahkan acara adalah orang ramai dan juga pelancong yang tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sebalik tabir acara Sambutan Hari Kebangsaan, dengan tema ‘Menjayakan Wawasan Negara’. Mereka berdiri di tepi jalan raya sambil mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam seakan-akan memberi semangat kepada para peserta perbarisan lalu.
Melihat wajah-wajah mereka yang penuh semangat mewarnai Bandar Seri Begawan, ternyata nilai kebangsaan bukan sahaja meraikan kemerdekaan Negara Brunei Darussalam, tetapi rasa kesyukuran mereka berikutan daripada nikmat hidup aman damai di bawah payung Melayu Islam Beraja.
Hujan turun semakin lebat membasahi ibu kota, tetapi langsung tidak ada tanda-tanda yang memperlihatkan para peserta ingin berganjak, begitu juga orang ramai yang menyaksikan upacara kebesaran negara tersebut. Langkah mereka semakin rancak. Walau pakaian yang basah kuyup, mereka terus melaungkan perkataan ‘kanan-kiri’ agar langkah mereka sentiasa serentak ketika menuju ke taman besar negara. Hujan yang turun adalah umpama tiupan angin yang tidak akan melemahkan langkah dan semangat mereka.
Turut mengharukan, adalah penyertaan masyarakat India, Tiong Hwa, Filipina, Malaysia, Indonesia serta ramai lagi yang sama-sama berbasah dalam hujan untuk menyertai perbarisan lalu di Hari Kebangsaan untuk menunjukkan Negara Brunei Darussalam yang mempunyai penduduk terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya, namun sama-sama berkibar bendera untuk meraikan Hari Kebangsaan Brunei.
Begitulah meriahnya Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Hujan yang turun menjadi ristaan sejarah yang menunjukkan semangat kental dalam diri para peserta persembahan untuk terus melangkah ke hadapan. Laungan yang semakin kuat ketika hujan lebat juga melambangkan semangat patriotisme tertanam di jiwa yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Ternyata Hari Kebangsaan bukan sekadar meraikan kemerdekaan negara tetapi juga meraikan rakyat yang hidup aman makmur di negara zikir ini dengan kepimpinan saksama Baginda Sultan, pemimpin yang tercinta.