ANTARA salah satu perkara yang dikira penting apabila tibanya tahun baharu adalah new year goals atau azam tahun baharu. Azam tahun baharu bagi setiap individu itu berbeza mengikut impian masing-masing. Ada yang hendak menurunkan berat badan, ada yang hendak membaca lebih banyak buku, ada yang hendak menjadikan aktiviti bersenam rutin harian dan ada juga yang hendak fokus belajar bersungguh-sungguh. Tetapi dalam banyak-banyak azam yang kita senaraikan setiap tahun, adakah setiap azam tersebut tercapai? Atau kesungguhan kita hanya terhenti setengah jalan ataupun sekadar hangat-hangat tahi ayam?
Perbaiki
Di antara salah satu cara untuk memastikan kesungguhan dalam mencapai azam adalah dengan cuba memperbaiki kelemahan lalu berbanding mempelajari sesuatu yang baharu. Hal ini kerana, manusia lebih termotivasi untuk memperbaiki berbanding memenangi sesuatu.
Sebagai contoh, meningkatkan stamina tubuh badan dan kecergasan fizikal itu lebih mudah untuk dicapai berbanding menceburi bidang sukan yang baharu mahupun menukar bentuk tubuh badan secara drastik. Oleh itu, azam yang hendak dicapai juga perlulah realistik dan tercapai bukan sahaja dek akal bahkan juga kemampuan masing-masing.
Pembabitan orang lain
Ahli falsafah daripada University Warwick, Dr John Michael telah mengkaji faktor-faktor sosial yang terlibat apabila seorang individu memulakan dan mencapai azam atau komitmen.
Dr Michael menyatakan bahawa kita akan lebih bersungguh dalam mencapai azam apabila ianya mempunyai penglibatan orang lain, di mana ia akan memberikan kesan sedikit sebanyak terhadap pihak yang terlibat apabila azam tersebut gagal dicapai.

Sebagai contoh, azam untuk menghadiri kelas bersama rakan. Yuran yang telah dibayar untuk menghadiri kelas serta masa yang diluangkan oleh rakan untuk menemani kita ke kelas mampu mengukuhkan lagi kesungguhan dalam mencapai azam. Ini kerana kita akan merasa lebih bertanggungjawab apabila azam yang ingin dicapai melibatkan wang dan masa yang telah dilaburkan oleh diri kita sendiri apatah lagi orang lain.
Reputasi
Reputasi merupakan salah satu penggerak dalam mencapai apa yang kita inginkan. Oleh itu, dengan cara memberitahu orang ramai tentang azam yang ingin dicapai, kita akan lebih tekad kerana risaukan pandangan orang ramai jika kita gagal mencapainya.
Menurut Professor Neil Levy daripada Oxford University, dengan berkongsi kepada orang ramai tentang azam kita, kita akan lebih termotivasi untuk mencapai azam tersebut.
Professor Levy juga menekankan bahawa resolusi yang terperinci juga penting. Sebagai contoh, ianya lebih berkesan dan berkemungkinan besar untuk berjaya dicapai apabila kita menentukan azam untuk melakukan aktiviti senaman di gim pada hari-hari tertentu seperti Selasa dan Ahad, berbanding cuma nekad untuk bersenam di gim pada bila-bila masa.
Selain daripada penyenaraian azam secara terperinci, Professor Levy juga menegaskan bahawa usaha ke arah mengimplementasikan azam tersebut perlu dilakukan dengan terperinci. Misalnya, jika kita ingin mempelajari sesuatu bahasa, kita boleh bermula dengan mendengar podcasts bahasa setiap pagi dalam perjalanan ke tempat kerja. Namun begitu, salah satu cara yang nyata lebih efektif ialah dengan meninggalkan notis di stereng kereta agar kita tidak lupa untuk mendengar podcasts bahasa tersebut pada setiap pagi.
Hai ini membuktikan bahawa, azam yang hendak dicapai itu perlu didorongi dengan cara implementasi yang bersesuaian dan berkesan.
Melakukan pengecualian
Professor Levy juga menegaskan bahawa kita perlu berhati-hati dalam melakukan pengecualian. Hal ini kerana, pengecualian yang berlebihan akan membantutkan semangat untuk mencapai azam yang diinginkan.
Sebagai contoh, jika kita berazam untuk bangun awal setiap pagi, namun mengecualikan hari-hari hujan yang sememangnya bermusim, kita tidak akan mampu mendisiplinkan diri untuk bangun pagi.
Oleh itu, pengecualian perlu dilakukan secara berpada-pada, di mana ianya tidak akan memberi impak yang serius seterusnya membantutkan semangat untuk mencapai azam kita.
Rancangan jangka masa panjang
Menurut Dr Anne Swinbourne, seorang pakar psikologi daripada James Cook University, resolusi yang terbaik merupakan resolusi yang mampu merealisasikan sebahagian daripada impian jangka masa panjang yang kita inginkan.
Misalnya, jika kita tidak pernah meminati dan menceburi bidang sukan, berazam untuk menjadi seorang atlet itu kurang logik dan peluang untuk mencapai azam tersebut juga tipis. Namun begitu, jika impian jangka masa panjang kita adalah ingin mengembara ke serata dunia sebelum mencecah umur 50 tahun, maka azam untuk menabung itu nyata lebih efektif dan mempunyai kredibiliti untuk berjaya dicapai.
Selain itu, Dr Swinburne juga menekankan kepentingan perancangan yang teliti dalam mencapai azam.
Kita perlu sedia maklum dan memahami kekuatan dan kekurangan yang dimiliki diri sendiri. Contohnya, jika seorang perokok berazam ingin membuang tabiat menghisap rokok itu, dia perlulah mengurangkan jumlahnya dari semasa ke semasa dan memilih untuk bertemu rakan-rakan yang tidak merokok.
Dr. Swinburne seterusnya menegaskan bahawa usaha mencapai azam dengan semangat kental saja tidak mencukupi, ianya perlu diikuti dengan perancangan bijak dan teliti. – Agensi