Oleh Lenna N.B.
MULA berjinak-jinak dalam kerja-kerja pengubahsuaian kereta seawal usia 12 tahun secara tidak langsung telah mencambah minat dalam diri Awang Mohamad Zaki bin Haji Jaineh, 42, untuk mengikuti hobi abangnya itu. Kereta pertama yang telah diubahsuainya dari sebuah besi buruk menjadi sebuah kenderaan seakan-akan baru adalah jenis kereta lama jenama Austin Mini.
“Kata bapa, ‘buang tia besi buruk atu!’. Memang puas sudah ditegur, namun diri ini masih tetap memegang prinsip untuk mengusahakan besi buruk itu,” ucap Awang Zaki sambil ketawa ketika mengenang kembali zaman mudanya.
“Pada suatu ketika, tangan abang saya tidak lagi sekuat dulu dan mengarahkan saya untuk mengambil spanar lalu membuka badan kereta dan sebagainya. Dari situ, kemahiran saya dalam bidang pengubahsuaian kereta semakin berkembang,” jelas Awang Zaki.
Projek Nissan D21
Berbekalkan minat yang mendalam telah mendorong Awang Mohamad Zaki membeli sebuah kenderaan lama, Nissan D21 dari tempat pembuangan besi buruk di Kampung Danau dengan harga $500. Kenderaan tersebut dipercayai mula dikeluarkan dalam tahun 1980an di mana kini ia amat sukar untuk dilihat di atas jalan raya
“Apa yang mendorong saya untuk memilih kereta seperti ini adalah kerana tidak ramai yang suka terhadap jenis kereta ini. Tambahan lagi, kewujudan kereta sebegitu juga begitu sukar untuk disaksikan di jalan raya pada era ini. Oleh kerana saya berhasrat untuk mencari sesuatu yang unik dan jarang ditampilkan telah membuatkan saya nekad untuk membelinya bagi dijadikan sebagai subjek dalam projek pengubahsuaian dan pembaharuan,” jelas Awang Zaki.




Kereta itu dibeli sekitar bulan Oktober tahun lepas dengan keadaan yang sangat buruk umpama sampah yang memang selayaknya dibuang. Hampir keseluruhan badannya dipenuhi dengan lumut, warnanya berkarat dan berlubang-lubang. Malah, tidak lagi dapat dihidupkan.
“Melihat keadaan kereta itu, saya mencabar diri untuk melakukan perubahan walau sesukar manapun. Dengan kemampuan yang ada selama ini, mulalah projek Nissan D21 yang mengambil masa kira-kira selama lima bulan proses ubahsuai. Jika dihantar di kedai, mungkin kos pengubahsuaian tersebut boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.”
Proses pengubahsuaian
Menurut Awang Mohamad Zaki, pada mulanya setiap kali melihat kereta besi buruk itu, beliau seakan hendak berputus asa dan hilang harapan untuk mengubahnya kerana itulah kali pertama beliau membawa pulang kereta yang benar-benar buruk untuk diubahsuai. Sehinggakan beliau kembali naik ke rumah, hilang kekuatan untuk bekerja dan mengusahakan kereta tersebut.
“Pada awalnya, semangat memang cukup membara pada setiap kali saya berhasrat untuk melakukan kerja pengubahsuaian namun ternyata keadaan kereta itu yang sangat buruk secara tidak langsung membantutkan lagi kerja yang saya lakukan sehingga ada kalanya sampai pada tahap berputus asa. Namun selepas berehat dan berfikir ditambah lagi dengan kata-kata semangat yang diberikan oleh isteri secara tidak langsung telah berjaya mengembalikan semula semangat untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian itu,” cerita Awang Zaki dengan gelak ketawa.
Di samping dorongan dan sokongan yang kuat dari isteri, beliau juga banyak disokong oleh rakan-rakan yang berkongsi hobi yang sama. Mereka datang menolong untuk mengusahakan kereta tersebut sehinggalah ia siap sepenuhnya. Lima hingga tujuh orang sahabat sama-sama bekerja membantu menjayakan projek Nissan D21 tersebut.
Dari kerja-kerja mencabut seluruh badan kereta, kerusi, enjin dan sebagainya sehinggalah ia hanya tinggal bingkai kereta, semuanya diganti satu persatu dengan aksesori kereta yang baru.
Badan-badan yang rosak disimen dan dicat semula. Bahagian dalaman kenderaan diganti. Lampu yang rosak ditukar kepada lampu baru dan banyak lagi pengubahsuaian secara menyeluruh dilakukan oleh Awang Mohamad Zaki sendiri bersama rakan-rakan.
“Ketika proses mencat pula saya gunakan warna ungu, iaitu warna kegemaran isteri saya, kerana tanpa beliau, saya mungkin tidak akan bersemangat untuk bekerja mengubahsuai kereta itu. Saya juga menggunakan kira-kira 250 gram glitter untuk menimbulkan warnanya.”
Cabaran utama
Menurut Awang Mohamad Zaki, cabaran utama yang dihadapi dalam kerja pengubahsuaian tersebut adalah ketika hendak melakukan pembaikan badan kereta yang berada dalam keadaan berlumut, berkarat dan berlubang.
Beliau juga perlu memastikan setiap lubang itu ditutup dan badan kereta kembali licin seperti baru.
Sebanyak empat tin simen telah digunakan sepanjang proses membaik pulih badan kenderaan. Kebanyakan masa juga banyak digunakan untuk proses tersebut.



“Berbanding dengan memasang enjin dan kerja pendawaian, proses membaik pulih badan kereta lebih sukar dan mencabar. Alhamdullilah, proses pengubahsuaian siap sepenuhnya sekitar awal Mac tahun ani.”
Penampilan pertama di Pameran Kustom Borneo
Pameran Kustom Borneo adalah sebuah acara pameran kenderaan yang terbesar di Negara Brunei Darussalam yang telah mengumpulkan peserta-peserta pameran dari dalam negara dan luar negara, antaranya adalah dari seluruh Borneo, Indonesia, Semenanjung Malaysia, Jepun dan sebagainya mempamerkan kereta-kereta dari zaman 1960an sehinggalah yang terkini.
Awang Mohamad Zaki adalah salah seorang daripada 300 peserta yang ikut serta dalam pameran tersebut, dan di sana adalah detik pertama bagi beliau untuk menampilkan Nissan D21 yang telah siap diubahsuainya, di mana ia merupakan satu pencapaian terbesar baginya.
“Kos perbelanjaan untuk mengubahsuai kenderaan ini adalah mencecah kira-kira hampir $2,000 yang kebanyakannya menggunakan barangan terpakai. Kawan-kawan yang membantu pula, adalah terdiri daripada mereka yang memang berkemahiran dalam bidang mengubah suai kereta. Alhamdullilah tanpa sokongan mereka dan isteri, saya mungkin tidak akan berjaya melaksanakan projek ini.”
Lebih 70 buah kereta
Nama Awang Mohamad Zaki bukanlah baru di bidang pembaikan kenderaan. Beliau telah berkecimpung di bidang ini kira-kira selama 30 tahun, dan telah pun melakukan pembaikan badan ke atas lebih 70 buah kereta.
“Banyak yang datang mengupah saya untuk membaiki kereta mereka. Di samping hobi, ia juga merupakan pendapatan sampingan saya. Kebolehan saya dalam membaiki kereta ini juga banyak yang mengetahuinya dari mulut ke mulut. Alhamdulillah banyak manfaat dan faedahnya dari kemahiran yang ada ini.”
Di masa akan datang, Awang Mohamad Zaki sudah ada rancangan untuk sasaran projek pembaikan pulih kenderaan yang seterusnya. Beliau ingin mencari sebuah kenderaan yang unik, kelihatan elegan dan jarang ada di jalanraya.
“InsyaAllah jenis kereta Redroad. Ia nampak seperti kereta mainan tapi bukan mainan. InsyaAllah kereta itu direncanakan bagi projek akan datang. Buat masa ini saya lebih menumpukan kepada mengambil upah membaik pulih dari pelanggan.”
Awang Mohamad Zaki bukan pelajar teknikal atau pernah bekerja di syarikat-syarikat perkhidmatan pembaik pulih kenderaan. Kemahiran beliau adalah daripada abang beliau serta kawan-kawan yang juga bermahiran dalam bidang kenderaan. Beliau belajar melalui pengalaman dan seterusnya menjadi hobi yang tidak pernah membosankan.
“Saya bekerja sebagai buruh sekolah. Habis bekerja di siang hari, saya gunakan waktu untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian kereta, dan pada masa yang sama, saya juga meluangkan waktu bersama keluarga. Kehidupan saya seharian sama saja seperti keluarga biasa. Cuma mungkin hobi saya ini agak unik tetapi sebenarnya di Brunei, memang ramai yang juga berkongsi hobi yang sama. Memang tidak salah untuk mempunyai hobi ini asalkan ia tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai,” jelas Awang Mohamad Zaki.
“Yang penting, mesti kuat. Jika dari awal sudah mempunyai sasaran, capaikanlah sasaran itu hingga ke penghujungnya,” tambahnya di hujung temuramah.