Semangat patriotik demi Negaraku Brunei Darussalam

Oleh Nurdiyanah R.

Satu detik penuh bersejarah lagi dilakar oleh Negara Brunei Darussalam dengan meraikan Sambutan Hari Kebangsaan kali ke-36 tahun, meskipun panas terik cahaya matahari semakin menyelubungi ibu kota namun begitulah juga kehangatan jiwa dan hati ribuan rakyat dan penduduk negara yang jelas kelihatan untuk sama-sama menjayakan sambutan yang amat dinanti-nantikan setiap tahun.

Apa yang pasti, ia merupakan satu kerahmatan daripada Allah SWT yang mengurniakan nikmat keselamatan, kemakmuran dan ketenteraman dalam beragama, berbangsa dan bernegara.

“Inilah masanya untuk kita sama-sama menunjukkan curahan kecintaan kita kepada negara. Dengan adanya peningkatan penglibatan para belia di negara ini yang semakin meningkat dari semasa ke semasa terutamanya dalam acara-acara kenegaraan sebegini, ia diharap akan dapat mendidik jiwa para belia agar demi bersatu padu dalam mencapai matlamat negara berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja,” ucap Awang Muhd Aqil Fakhrullah bin Haji Azrol Azmin selaku wakil Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Teknologi Brunei (UTB) yang menyertai perbarisan lalu bersama 110 orang mahasiswa dan mahasiswa beserta para pensyarah universiti berkenaan, semasa ditemui penulis baru-baru ini.

Indahnya kibaran bendera negara

Curahan kegembiraan turut dapat dirasai oleh seramai 234 orang mahasiswa dan mahasiswi, pensyarah dan kaki tangan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang menyertai perbarisan pada hari penuh gemilang berkenaan. Semasa ditemui, salah seorang wakil Majlis Perwakilan Pelajar, Awang Muhd Hanafi bin Rosli yang mana menyatakan pengalaman manis ini sememangnya sesuatu yang tidak dapat dilupakan kerana semua rakyat tidak kira semua lapisan masyarakat berganding bahu dalam melakarkan ristaan sejarah demi hari kemerdekaan bumi di mana kita berpijak ini.

“Dengan adanya keindahan kibaran bendera daripada para peserta yang terlibat, ia sememangnya secara tidak langsung mampu menambahkan semangat pariotisme dalam diri kita semua,” tambahnya dengan penuh ketulusan.

Bersama menanai wawasan negara 2035

Manakala Awangku Muhd Ridhauddin bin Pengiran Mohd Amin selaku wakil Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) juga berkesempatan berkongsi keterujaan dalam menyaksikan penglibatan belia negara yang semakin berani mengorak langkah secara positif antaranya dalam bidang kerja-kerja kesukarelawan.

“Demi mengasah kemahiran-kemahiran sebegini, kami sememangnya didedahkan dengan adanya aktiviti-aktiviti kemasyarakatan sepanjang mengikuti pengajian di KUPU SB. Adalah menjadi harapan kita semua untuk menyaksikan para belia negara bersama-sama menanai wawasan negara 2035 secara inovatif, produktif dan proaktif,” ujarnya dengan penuh harapan.

Semua memiliki peranan tersendiri

Dalam pada itu, Awang Mohammad Zul Raimi bin Rajami selaku ahli dalam Pasukan Pancaragam, Sarunai dan Tambur, Battalion Ke-3, Lumut, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga mengungkapkan bahawa sebagai penduduk bumi Negara Brunei Darussalam yang bertuah lagi mengharapkan taufik serta hidayah dari Allah SWT, menyeru untuk sama-sama menjayakan wawasan negara dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh selaras dengan tema hari kebangsaan pada tahun ini ‘Menjayakan Wawasan Negara’.

“Justeru itu, semua lapisan masyarakat itu memiliki peranan masing-masing dalam sama-sama mencurahkan segala pengorbanan dan kesetiaan mereka pada agama, bangsa dan negara ini. Selamat Hari Kebangsaan yang ke-36 tahun, Brunei!,” ucapnya semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.

Awang Muhd Aqil Fakhrullah selaku wakil Majlis Perwakilan Pelajar UTB yang menyertai perbarisan lalu bersama 110 orang mahasiswa dan mahasiswa beserta para pensyarah universiti berkenaan, semasa ditemui penulis baru-baru ini.
Pasukan Pancaragam, Sarunai dan Tambur, Battalion Ke-3, Lumut, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga terlihat dalam sama-sama menjayakan acara yang penuh bersejarah itu.
Curahan kegembiraan turut dapat dirasai oleh seramai 234 orang mahasiswa dan mahasiswa, pensyarah dan kakitangan UNISSA yang menyertai perbarisan pada hari penuh gemilang berkenaan – Gambar oleh Rahwani Zahari
Seorang wakil Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA, Awang Muhd Hanafi menyatakan pengalaman manis ini sememangnya sesuatu yang tidak dapat dilupakan kerana semua rakyat tidak kira semua lapisan masyarakat berganding bahu dalam melakarkan ristaan sejarah demi hari kemerdekaan bumi di mana kita berpijak ini.
Awangku Muhd Ridhauddin selaku wakil Majlis Perwakilan Pelajar KUPU SB juga berkesempatan berkongsi keterujaan dalam menyaksikan penglibatan belia negara yang semakin berani mengorak langkah secara positif antaranya dalam bidang kerja-kerja kesukarelawan.