Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan diri pelajar, seramai 270 ahli pasukan beruniform telah menyertai Perbarisan Pasukan-pasukan Beruniform Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab Senegara buat pertama kalinya sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat dan memeriksa perbarisan yang diadakan di Padang Kawad PKBN, Perkampungan Sukan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad. Perbarisan yang membawa tema ‘Menjana Pelajar ke Arah Wawasan 2035’ itu disertai seramai 120 orang pelajar lelaki dan 150 orang pelajar perempuan yang terdiri daripada Pasukan Kadet Tentera, Pancaragam Pasukan Kadet Tentera, Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei, Pancaragam Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei, Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pengakap, Pasukan Pandu Puteri dan Pasukan Bulan Sabit Merah. Acara perbarisan turut diserikan dengan pameran-pameran dari unit-unit dan Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan juga daripada pasukan-pasukan beruniform iaitu Unit Pentadbiran, Unit Strategik dan Perhubungan Maklumat, Unit Rohani, Unit Akli, Unit Jasmani, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam dan sebagainya.
Antara tujuan acara anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan itu adalah bagi menyemai penghayatan semangat patriotik kepada pelajar-pelajar khususnya ahli-ahli pasukan beruniform dalam memberikan kesedaran tentang hala tuju dan usaha berterusan pihak kementerian untuk menjamin kesejahteraan pelajar sebagai anak bangsa yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa, raja dan negara.

