Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semangat pendekar

    ISLAM adalah agama sempurna dan kita sedia arif, setiap sesuatu yang suci pasti akan diuji kerana sifatnya yang unggul dan dicemburui. Maka umat Islam harus hebat jiwa dan jasad bagi menangkis dugaan yang bertalu-talu ini.

    Sejak zaman Rasulullah sehingga kini, umat Islam tidak pernah berhenti dimusuhi dan dipandang serong. Malah sesama umat Islam sendiri ada yang galak bertelingkah dan bersengketa. Kita harus membina umat Islam yang bermaruah dan berilmu bagi mendepani cabaran kontemporari.

    Nilai tambah

    Salah satu gagasannya ialah melalui karisma penampilan yang disokong oleh daya tahan tatkala mendepani musuh. Menjadi keperluan untuk kita melengkapkan diri dengan seni mempertahankan diri mengikut lunas syariat. Islam itu indah, maka kita indahkan kepahlawanan yang kita tampilkan itu dengan empat nilai tambah:

    1-Nawaitu.

    Untuk apa kita mempelajarinya? Jawapan ini akan menyokong pembinaan sahsiah dan keseluruhan jalan hidup. Sebagai umat Islam, ia menjadi titik mula perjalanan kita.

    Penglibatan dalam seni bela diri membentuk perwatakan matang dan mendidik insan menjadi manusia yang bertanggungjawab. Justeru itu, ia mampu menjadi contoh kepada masyarakat.

    2-Akhlak.

    Cara bertindak dan jati diri itu terhasil melalui ajaran yang benar untuk membentuk peribadi yang cemerlang. Silat, judo, silambam, tae kwan do dan sebagainya dijadikan sebagai perlindungan diri dan dipratikkan pada saat yang perlu.

    3-Budi.

    Sudahlah berakhlak mulia, dipadukan lagi dengan amalan-amalan murni yang membawa manfaat kepada masyarakat.

    Kepandaian bersilat contohnya membina cara pergaulan yang baik, menghormati orang tua dan persahabatan sejati atas dasar silaturahim dan kasih sayang sesama insan.

    4-Iman dan takwa.

    Seseorang itu menggunakan kelebihan diri melalui ilmunya bukan untuk tujuan riyak, jenayah dan sebagainya. Kelebihan diri disalurkan ke jalan yang benar bagi mendapat pahala dan reda Ilahi.

    Sumber motivasi

    Merenung puisi sasterawan Malaysia, Usman Awang yang popular bertajuk Melayu:

    Watak Melayu menolak permusuhan

    Setia dan sabar tiada sempadan

    Tapi jika marah tak nampak telinga

    Musuh dicari ke lubang cacing

    Tak dapat tunduk telinga dijinjing

    Maruah dan agama dihina jangan

    Hebat amuknya tak kenal lawan

    Jika waktu terluang dan barangkali kita memang tidak punyai minat terhadap seni pertahanan diri, kita suburkan minat pada warisan nenek moyang yang menceritakan kehandalan orang dahulu. Kita gabung dengan pembacaan sejarah Islam. Pasti kita termotivasi untuk jadi lebih sihat, gagah, kuat dan berani. Tidak lagi kecut lemah meniti zaman yang mencabar.

    Simbol perlindungan

    Andainya setiap keluarga mempunyai ahli bela diri pasti mantap. Apa-apa terjadi, ada dahan untuk berpaut. Orang yang terlibat dalam seni bela diri akan kelihatan tampan, tegap dan cergas. Mereka boleh diharap untuk melakukan pelbagai tugasan terutama melibatkan fizikal.

    Fizikal yang cergas menghasilkan minda yang cergas. Dengan watak yang baik, mereka akan disenangi, disayangi dan sering dijadikan sumber perlindungan walau di mana berada.

    Ilmu itu akan mengaktifkan cara tindakan yang mampu menyelamatkan individu di bawah naungannya. Walau di depannya hanya kayu atau kain, dia tahu cara mengolah objek itu untuk ditransformasikan sebagai senjata.

    Peluang berdakwah

    Penglibatan dalam seni bela diri membentuk perwatakan matang dan mendidik insan menjadi manusia yang bertanggungjawab. Justeru itu, ia mampu menjadi contoh kepada masyarakat. Ya, itu peluang dakwah!

    Kita melakukan sesuatu yang mendorong kebaikan. Kita juga berpeluang membimbing rakan-rakan sebaya yang terjebak dalam gejala negatif untuk mencipta masa depan melalui seni mempertahankan diri. Seni itu sendiri bermaksud halus dan hikmah. Maka, kehalusan itu mampu menjana personaliti mulia. – Petikan daripada majalah Gen-Q

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda