Gambar serahan BSP
Setiap tanggal 23 Februari, rakyat dan penduduk di seluruh negara akan menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh semangat dan bertenaga di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien yang dipenuhi perhimpunan agung ribuan penduduk yang bersemangat patriotik dengan pakaian berwarna-warni.
Namun, berbeza pula bagi ratusan pekerja Syarikat Minyak Shell Brunei Sdn Bhd (BSP) yang mengenakan baju coveralls berwarna jingga untuk tidak melepaskan peluang meraikan Hari Kebangsaan di tengah-tengah lautan. Meskipun lokasinya berbeza, namun rasa bangga dan semangat patriotik tetap ada.
Sambutan Hari Kebangsaan di luar pesisir ini merupakan satu tradisi BSP yang istimewa. Perayaan ini dijadualkan dalam pelan operasi mingguan bagi pengendalian pelantar dan kompleks untuk memastikan Hari Kebangsaan selamat diraikan, namun pada masa yang sama, memastikan aktiviti penting harian terus dijalankan dan pengeluaran stabil dikekalkan.
Pengurus Pemasangan Luar Pesisir Kompleks Champion 7, Dayangku Sapiah binti Pengiran Ismail, memastikan semua kakitangan di barisan hadapan berada dalam keadaan bersedia dan dipanggil bila-bila masa. Beliau bertanggungjawab untuk keselamatan pelantar Champion 7 dan pekerja yang betugas dalam kompleks yang besar itu.
Usaha tersebut adalah untuk memastikan operasi terus berjalan lancar dalam masa 24 jam supaya negara disediakan dengan tenaga yang diperlukan untuk memastikan lampu-lampu dapat berfungsi dan kereta-kereta bergerak.



Penghargaan dengan memanjatkan doa
Sambutan luar pesisir bermula pada malam Hari Kebangsaan, apabila para kru berkumpul untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah serta bacaan Surah Yasin dan doa selamat. Pada keesokan harinya, mereka akan berkumpul untuk mengibarkan bendera kebangsaan dan berarak dengan bangganya.
Sambutan itu diteruskan dengan menaikkan ben dera kebangsaan yang diiringi dengan lagu kebangsaan yang memenuhi ruang udara. Seterusnya, bacaan Ikrar Hari Kebangsaan dan diikuti dengan ‘makan-makan’ (jamuan) khas sebelum anggota kru menyambung semula operasi mereka.
Zulfadli bin Zaili, Pengendali Pengeluaran Lapangan Fairley 4, berkongsi kegembiraan dan kebanggaannya apabila ditanya sambutan Hari Kebangsaan di luar pesisir.
“Kerja di barisan hadapan secara fizikal dan mental sangat mencabar. Ada kalanya anda perlu bekerja untuk waktu yang panjang, terpaksa mengharungi cuaca matahari yang panas, cuaca buruk, ombak besar dan mabuk laut. Tetapi Brunei memerlukan tenaga, dan itu adalah sesuatu yang penting untuk diingati.”
Menjayakan Wawasan Negara
Pengurus Besar Pemasangan Operasi Ampa 9, Haji Syamaizar bin Haji Mat Daud, berkongsi rasa penghormatan beliau dapat bekerja di luar pesisir pantai pada Hari Kebangsaan.
“Saya secara peribadi merasakan penghormatan dapat bekerja di luar pesisir, kerana pekerjaan kami adalah untuk terus memacu masa kini dan masa depan Brunei.”
Menurut beliau, rasa bangga ini merupakan satu perasaan yang biasa saja, yang menonjol adalah keunikan meraikan Hari Kebangsaan di tengah lautan, sambil menyediakan tenaga yang memacu negara.
Beliau juga menyatakan bagi pekerja di luar pesisir, kesukaran hidup dan bekerja di tengah-tengah laut jauh dari saudara-mara dan rakan-rakan merupakan perkara kedua dan apa yang penting adalah berbakti kepada negara.
“Keutamaan nombor satu kami adalah keselamatan, dan operasi selamat bermakna operasi yang stabil yang membawa kepada aliran ekonomi yang stabil untuk negara,” kata Syamaizar.
Rakyat peneraju Brunei hari ini dan masa hadapan
Bagi Penyelia Elektrik Ampa 6, Nur Hazirah binti Abdul Rahman, Hari Kebangsaan adalah masa untuk bersama-sama memikirkan kewajiban bersama bagi memastikan Brunei akan terus mempunyai individu yang berkemahiran tinggi. Ini termasuk memastikan sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan yang berterusan.
“Budaya penambahbaikan berterusan kami di BSP adalah untuk memastikan pasukan kami mengendalikan latihan yang betul, pengetahuan yang betul, dan kompetensi yang tepat untuk memastikan kami tidak hanya menyampaikan kepada BSP, tetapi untuk Negara Brunei Darussalam. Bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk beberapa tahun lagi.”
Dayangku Sapiah berpendapat sambutan Hari Kebangsaan merupakan sebagai peringatan sejauh mana kita telah mencapai menjadi sebuah negara.
“Ketika meraikan lebih 90 tahun BSP memberi khidmat untuk negara, kami bersyukur menetap di Brunei sebagai sebuah negara yang aman dan bahagia yang telah merdeka selama 36 tahun.
“Sebagai orang Brunei, kita harus berbangga bagaimana Brunei telah membangun dalam masa 36 tahun yang lalu, dan rasa bangga harus selalu dikekalkan dan diingatkan kepada generasi masa depan kita. Ini adalah peringatan untuk semua bagi menyumbang kepada pembangunan negara, dan untuk meneruskan masa depan Brunei.”