Sunday, April 27, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semangat ‘wira Darussalam’ untuk amal kebajikan

    Oleh Lenna N.B

     

    KIRA-KIRA 500 orang peserta memulakan larian yang dimulakan dari Stadium Negara Hassanal Bolkiah, merentasi Pusat Persidangan Antarabangsa dan Stadium Tertutup, Padang Balapan, Hotel Orchid Garden dan kembali semula menuju ke Stadium Negara.

    Di sepanjang larian mereka itu, dihalang dengan bola-bola besar, tembakan-tembakan cecair berwarna-warni dan juga buih-buih yang berterbangan. Namun, siapa sangka, mereka juga menjadi wira kepada masyarakat. Bukan sekadar larian untuk mendapatkan pingat, atau mencabar kemampuan diri, tetapi turut menyumbang sesuatu kepada sesama insan.

    “Itulah harapan saya, untuk mendorong semangat saling membantu, semangat menjadi penyelamat kepada mereka yang memerlukannya, semangat ingin berbakti atau ringkasnya, semangat seorang wira kerana setiap dari kita, memang mempunyai jiwa wira yang terpendam,” ujar Pengasas sebalik syarikat Heroes Event Management, Aaron Goh.

    Ingin berbakti

    Syarikat Heroes Event Management ditubuhkan dalam tahun 2014 atas hasrat untuk mengumpul dana-dana berupa kebajikan. Sejak penubuhannya, Aaron mempunyai wawasan untuk berbakti dan membantu persatuan-persatuan bukan kerajaan, institusi-institusi kebajikan dan masyarakat yang memerlukan sokongan kewangan dan sebagainya, di mana orang ramai dapat menyumbang dan berbakti.

    Para peserta memulakan larian mereka di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
    Para peserta larian Run Happy yang mencapai sehingga 500 orang.
    Para peserta larian ketika dihalang oleh bebola-bebola besar.
    Setiap peserta larian mempunyai semangat wira.

    Justeru itu, setiap aktiviti atau acara yang dikelolakan di bawah syarikat tersebut, adalah bertujuan untuk kebajikan. Sebelum ini, melalui aktiviti larian Run Happy sekitar bulan Mac tahun ini, Syarikat Heroes Event Management berjaya menyumbangkan sejumlah $18,000 kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim (DANA), Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA) dan Persatuan Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD).

    Menurut Aaron, dana tersebut merupakan hasil bayaran pendaftaran yang berjaya dikumpul daripada lebih 1,800 peserta larian Run Happy yang sama-sama menjayakan aktiviti kebajikan tersebut.

    “Walaupun acara larian amal itu dianjurkan di bawah nama syarikat Heroes Event Management, tetapi wira sebenar adalah jelas merujuk kepada para peserta larian, kerana mereka berlari hingga ke penghujungnya, demi membantu saudara-saudara kita yang amat memerlukan sumbangan kewangan terutama dari segi pendidikan, perubatan, dan sebagainya. Tanpa mereka, acara Run Happy sebelum ini, tidak mungkin berjaya mengumpul dana hingga $18,000,” jelas Aaron dalam nada terharu.

    Makna wira sebenar

    Menurut Aaron, untuk menjadi seorang wira tidak semestinya perlu mempunyai kuasa luar biasa seperti Spiderman, Superman, Batman atau lain-lain karakter adiwira yang pernah kita lihat di televisyen. Wira adalah siapa sahaja yang mampu membantu, menolong, berbakti atau menyumbangkan sesuatu kepada orang lain. Walaupun hanya mendermakan satu sen ke tabung anak yatim kerana dari jumlah yang sedikit-sedikit itu juga menghasilkan jumlah yang besar, akhirnya mampu memberikan kebahagiaan kepada insan yang lain.

    Ditembak cecair warna-warni dan buih-buih yang berterbangan di penghujung larian.
    Aaron Goh, Pengasas sebalik Syarikat Heroes Event Management ketika ditemu ramah Media Permata pada baru-baru ini.
    Para sukarelawan dan warga di sebalik acara Run Happy, yang dikelolakan oleh Syarikat Heroes Event Management baru-baru ini.

    “Memberikan senyuman kepada rakan yang sedih, membantu saudara kita yang susah, menolong orang tua melintas jalan raya, menumpangkan sahabat ke tempat kerja dan banyak lagi perkara-perkara yang berunsur kebaikan dalam hidup ini, kita sudah mampu menjadi seorang wira. Mungkin kita tidak sedar, hari ini kita telah membahagiakan hidup orang lain, tetapi semangat wira antara sedar atau tidak, haruslah kita tanamkan dalam diri kita. Begitu juga, kanak-kanak yang sedang bertarung dengan penyakit kanser, mereka yang berusaha melawan kemurungan, insan-insan yang tabah mengharungi cabaran dan dugaan, juga seorang wira, iaitu wira yang bertarung dengan diri mereka. Kita semua adalah seorang wira, kita semua adalah wira,” tambah Aaron dengan penuh bersemangat, betapa beliau melihat perjalanan hidup yang begitu bermakna.

    Wira dalam setiap pelari

    Baru-baru ini, Heroes Event Management kembali menganjurkan acara Run Happy kali kedua bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada malam Ahad, 24 September 2017. Larian tersebut berjaya mendapat penyertaan dari sejumlah 500 orang peserta, yang dibukakan kepada dua kategori larian iaitu larian 5 kilometer dan larian 3 kilometer.

    “Pada kali ini, kami akan menyumbang peralatan-peralatan senaman khas untuk atlet-atlet Paralimpik kita. Walaupun jumlah peserta agak jauh daripada larian Run Happy sebelum ini, kami tetap juga ingin meneruskannya demi masa depan atlet-atlet kita yang akan membawa nama negara Brunei Darussalam. Antara peralatan tersebut termasuklah kasut, barang-barang latihan, dan apa sahaja keperluan mereka untuk persediaan di gelanggang sukan Paralimpik yang akan datang,” tambah Aaron.

    Sejumlah $3,000 telah berjaya dikumpulkan sebalik acara Run Happy pada kali ini. Selaku penganjur acara, Aaron berasa amat terharu untuk melihat sambutan orang ramai, kerana setiap langkah mereka mewakili atlet-atlet Paralimpik yang bertanding di peringkat antarabangsa. Menariknya, larian amal ini bukan sahaja melibatkan orang-orang tempatan tetapi juga para pelancong yang ingin sama-sama berbakti.

    Sebalik larian ini juga, Heroes Event Management ingin memberikan kesedaran betapa kita perlu sentiasa hidup penuh ceria dan gembira. Justeru itu, melalui tembakan cecair warna-warni serta buih-buih yang berterbangan ketika mereka hampir menuju ke garisan penamat, diharapkan memberi kesan pengalaman keseronokan di penghujung laluan larian mereka yang agak jauh.

    Antara wajah-wajah ceria peserta larian Run Happy.
    Kanak-kanak yang pertama berjaya menamatkan larian 3 km.
    Pingat Run Happy menandakan kejayaan setiap pelari.

    “Melihat para peserta kita ketawa, senyum ceria dan bangga setelah berjaya mendapat pingat, adalah detik termanis sekali, kerana pingat mereka itu bukan sekadar bererti mereka berjaya menghabiskan larian sejauh 3kilometer dan 5kilometer, tetapi mereka adalah wira yang sama-sama mendukung atlet-atlet kita.”

    Mengumpulkan wira-wira Darussalam

    Acara Run Happy ini mendapat sokongan dan penaja daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Persatuan Paralimpik Brunei Darussalam, Armtrix, Fitness Zone, Revive, Kingston, Mum, Sehat, You C1000, Processta, Digimark, Simpor Pharma, Swee, The Brunei Hotel, Bubble Monkey, Brunei Bubble Play, Freshco, dan banyak lagi syarikat-syarikat swasta tanahair yang sama-sama menjayakan larian amal ini. Begitu juga para sukarelewan belia, yang sama-sama terlibat demi melancarkan acara Run Happy.

    “Mereka inilah juga wira-wira Darussalam, kerana berkesudian untuk membantu kami menjayakan acara larian amal ini. Tidak kira apa sumbangan mereka, tetapi demi amal kebajikan, mereka sudi sama-sama membantu. Begitulah wira-wira kita yang berjaya dikumpulkan dalam sebuah acara,” kata Aaron gembira.

    Menurut beliau, Brunei adalah negara bertuah kerana mempunyai pemimpin yang berjiwa rakyat. Kepimpinan Baginda Sultan sentiasa menjadi inspirasi kepada rakyat dan penduduk tetap di bumi Darussalam.

    Justeru itu, lahirlah wira-wira Darussalam yang sedia berbakti ke arah kebajikan agar sama-sama dapat meraikan kejayaan dan kegembiraan.

    “Yang penting, kita tanamkan nilai budi yang baik, saling menyayangi antara satu sama yang lain, membantu mereka yang memerlukan kita, dan sama-samalah kita menjadi wira Darussalam,” ucap Aaron mengakhiri temuramah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda