Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran melakukan aktiviti berbasikal dengan selamat pada waktu malam dan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33, kira-kira 500 orang penunggang basikal mengambil bahagian dalam Acara Riadah Berbasikal Malam Hari Kebangsaan yang bermula di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, pada 21 Februari lalu.
Acara berbasikal riadah malam berkenaan dianjurkan oleh Kelab Basikal Lipat Brunei, Mewsum Wong dengan sokongan Pengarah Teknikal Persekutuan Berbasikal Brunei Darussalam, Haji Abdul Wahab bin Datu Derma Wijaya Haji Yusof serta dibenarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan disertai oleh para peserta dari segenap lapisan masyarakat.
Semasa acara berbasikal itu, para peserta didahului oleh Pasukan Polis Diraja Brunei di mana para peserta memulakan kayuhan dari Stadium Negara Hassanal Bolkiah, bergerak menuju ke Mabohai kemudian ke Bandar Seri Begawan sebelum kembali ke Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Menurut Mewsum Wong, acara riadah berbasikal malam itu diharap akan memberikan kesedaran kepada para penunggang basikal untuk menggunakan alat keselamatan yang betul seperti lampu terutama ketika berbasikal pada sebelah malam. Acara Riadah Berbasikal Malam yang seterusnya akan diadakan pada 28 Mac nanti iaitu Riadah Berbasikal Malam bagi Memperingati Muhammad Ali.
![Para peserta riadah berbasikal malam bergambar ramai sebelum memulakan kayuhan mereka.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/1A_240217.jpg)
![Antara yang menyertai acara berbasikal malam tersebut.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/1C_240217.jpg)