Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Sebagai sebuah negara yang berpaksikan sistem pemerintahan beraja, kita seharusnya menanam, menanai dan memahat keunggulan dan keunikan yang dimiliki ini dalam setiap jiwa rakyat dan penduduk di negara ini.
Kefahaman dan penghayatan mengenai peranan raja sebagai pemegang tampuk pemerintahan negara, dan rakyat serta penduduknya pula untuk sentiasa mentaati raja, adalah tunjang utama kepada kelestarian keunggulan dan kedaulatan negara bumi Darussalam tercinta.
Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Program Semarak Hari Keputeraan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 yang berlangsung di Dewan Teater Kompleks Bangunan JPM, hari ini.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menyatakan bahawa Program Semarak Hari Keputeraan ini akan terus dilihat sebagai berperanan penting ke arah memantapkan kefahaman tersebut.
Beliau menambah, program itu bertujuan untuk menyemarakkan dan memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Baginda, menerusi pelbagai perisian program yang berbentuk ilmiah, termasuk keugamaan dan kebudayaan.
Katanya lagi, “Walaupun evolusi penyebaran maklumat kini dikuasai oleh kecanggihan teknologi maklumat, namun pendekatan berupa budaya lisan dan komunikasi secara bersemuka melalui Program Semarak Hari Keputeraan ini akan mampu menarik minat masyarakat untuk terus membudayakan dan memperkasakan pendekatan melalui permuzakarahan dan permuafakatan secara langsung dan terbuka”.
Dalam masa yang sama, tegas Yang Berhormat Pehin berharap, apa jua pendekatan yang diambil, ia hendaklah berupaya menyalurkan dan menerapkan prinsip serta nilai-nilai khasnya Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
Ia jua didukung dan diwarisi secara turun temurun, serta menjadi pasak kepada memartabatkan dan mendaulatkan bangsa Brunei yang beridentiti berintegriti dan berkebudayaan tinggi.
Beliau turut melahirkan kegembiraan atas usaha Jabatan Penerangan yang terus memainkan peranan penting bagi memastikan pengisian maklumat yang dibarigakan itu, ia bukan sahaja melalui program tersebut untuk diadun dengan sebaiknya agar ia sentiasa tepat dan padat serta disalurkan dengan cepat.
Program yang diadakan ini bertepatan sekali dalam negara masih lagi menikmati suasana kemeriahan dan kegembiraan sambutan perayaan yang istimewa untuk seorang raja yang berdaulat dan dikasihi rakyat.