Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semarak kemeriahan Syawal

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Dewan Kemasyarakatan Lambak Kanan, baru-baru ini, telah dipenuhi dengan kegembiraan dan tawa riang serta nyanyian lagu-lagu Hari Raya serta aroma hidangan masakan tradisional apabila sebuah keluarga besar mengadakan majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di dewan berkenaan.

    Hampir 500 orang ahli keluarga besar Awang Minudin bin Salleh bin Abd Rahman menghadiri majlis tersebut yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, dipimpin oleh Pengiran Bahrin bin Pengiran Haji Tuah diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, Haji Ismail bin Haji Mohd Yusof.

    Hadir Ismail antara lain menekankan mengenai pentingnya mewujudkan dan mengukuhkan hubungan antara ahli keluarga daripada generasi ke generasi dan mengekalkan hubungan kekeluargaan yang kukuh antara mereka dan saling membantu antara satu sama lain.

    Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menganjurkan acara tersebut serta sokongan kuat daripada setiap ahli keluarga dalam membantu melancarkan majlis berkenaan dan berharap kerjasama dan kefahaman yang kuat dalam kalangan mereka tidak berakhir di sana.

    Majlis kemudiannya diikuti dengan bacaan Doa Selamat yang juga dibaca oleh Pengiran Bahrin.

    Pada majlis itu, ahli-ahli keluarga melawat ‘rumah’ yang didirikan di dewan tersebut oleh setiap wakil ahli keluarga sambil menikmati hidangan yang disediakan dan bersua muka sesama mereka.

    Pelbagai persembahan juga memeriahkan majlis seperti persembahan lagu Hari Raya oleh jawatankuasa penganjur, diikuti dengan persembahan kumpulan oleh tiga ahli keluarga Awang Minudin.

    Jawatankuasa penganjur juga mengadakan pertandingan yang berkaitan dengan Sambutan Hari Raya seperti menganyam ketupat bagi ahli keluarga wanita, pertandingan menapih sinjang bagi ahli keluarga lelaki dan pertandingan pakaian bagi kanak-kanak dan diakhiri dengan persembahan lagu Hari Raya oleh semua orang.

    Antara yang hadir pada majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda