Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semarak Maulud Nabi Muhammad SAW

    Oleh Salawati Haji Yahya, Yusrin Junaidi & Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Sebagai acara tahunan dan bagi menyemarakkan Maulud Nabi Muhammad SAW, kementerian-kementerian, jabatan-jabatan dan agensi kerajaan telah memeriahkan sambutan berkenaan dengan pelbagai acara-acara keagamaan.

    Petang tadi, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) serta jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat serta ceramah khas yang bertajuk Indahnya Akhlak Rasulullah SAW oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Muhammad Najib bin Haji Awang dan diakhiri dengan Dikir Marhaban oleh Kumpulan Dhiyaul Iman.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab dan warga KSSUP serta jabatan-jabatan di bawahnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa menghadiri Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary hadir pada majlis yang diadakan di Dewan Amar Pahlawan, MTIC. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menghadiri majlis yang berlangsung di Dewan Digadong, KKBS. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah semasa menghadiri majlis yang diadakan di Dewan Jubli Emas. – GAMBAR SERAHAN PEJABAT PEGUAM NEGARA
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Gambar Muiz Matdani
    Gambar Muiz Matdani
    Antara jemputan yang hadir pada majlis yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Gambar Oleh Nurdiyanah R.

    Sementara itu, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi pihak berkuasa di bawahnya turut mengadakan majlis sama kelolaan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI) di Dewan Amar Pahlawan, MTIC.

    Hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dan pegawai-pegawai kanan serta warga MTIC.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah A-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Awang Saufi bin Haji Suhaini.

    Majlis seterusnya diserikan dengan ceramah khas bertajuk Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah SAW yang disampaikan oleh Penolong Ra’es, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Mohd Sharol Azmi bin Haji Abdul Muluk, bersama Pembantu Kanan Perkembangan Ugama, PDI, Awang Muhammad Syamim Farhan bin Haji Sufri selaku moderator.

    Majlis kemudian dimeriahkan dengan persembahan Dikir Marhaban daripada Kumpulan Dikir MTIC sebelum diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Yang Berhormat Pengiran Dato kepada penceramah undangan dan moderator.

    Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya juga mengadakan majlis sama di Dewan Digadong, KKBS yang dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku tetamu kehormat.

    Majlis kendalian Jabatan Muzium-muzium itu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh johan qari Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1445H/2024M, Awang Qawiyyel Azeez bin Haji Abdul Rajid.

    Majlis diserikan dengan ceramah khas bertajuk Cinta Rasulullah Tiada Penghujungnya yang disampaikan oleh penceramah undangan, Pegawai Ugama di PDI, Awang Nasyith bin Superi dan diakhiri dengan Dikir Marhaban, Selawat Tafrijiyyah dan Sayyidul Istighfar beramai-ramai.

    Manakala, Pejabat Peguam Negara turut mengadakan majlis serupa di Dewan Jubli Emas, Bangunan Undang-undang dan Mahkamah-mahkamah, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Muhammed Taib.

    Turut hadir ialah Peguamcara Negara, Hajah Zuraini binti Haji Sharbawi, serta pegawai-pegawai dan kakitangan Pejabat Peguam Negara.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Penasihat Undang-undang di Pejabat Peguam Negara, Awang Mohammad Nazmi Azwan bin Awang dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh qari pemenang tempat ketiga dalam Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446H/2024 Masihi, Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri.

    Majlis diteruskan dengan ceramah khas bersempena tema Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah SAW yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh daripada pegawai-pegawai dan kakitangan Pejabat Peguam Negara yang dipimpin oleh Penasihat Undang-undang, Haji Shufi bin Haji Ibrahim.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda