Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Semarak pengajian Qiraat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN – Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Forum Bersama Ilmuwan yang membawa tema ‘Menyemarakkan Pengajian Qiraat’ secara maya pada 26 Mac lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNISSA, forum tersebut bertujuan untuk menampilkan pakar-pakar dalam dan luar negara untuk mengongsi kepakaran dan pengalaman ilmiah masing-masing dan sebagai platform untuk mewujudkan suasana ilmiah yang kondusif dengan membudayakan iklim ilmu dalam kalangan para akademik dan mahasiswa terutama yang dalam bidang qiraat.

    Forum tersebut disertai lebih 70 orang peserta terdiri daripada kalangan warga akademik, para siswazah, prasiswazah dan juga masyarakat awam serta menyaksikan kehadiran daripada institusi pengajian tinggi luar negara seperti dari Malaysia dan Indonesia menerusi platform Zoom.

    Dalam perkongsian kali ini, dua ahli panel telah diundang iaitu seorang pakar bidang qiraat di Malaysia iaitu pensyarah kanan di Pusat Kajian dan Al-Sunah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Sabri bin Mohammad dan pensyarah tempatan di Fakulti Usuluddin, UNISSA, Dr Ahmad Baha bin Mokhtar.

    Turut hadir selaku moderator bagi forum tersebut ialah seorang pelajar Sarjana Usuluddin (secara Kerja Kursus & Disertasi), UNISSA, Dayang Nurhaziqah binti Haji Mohd Taha.

    Dalam kertas kerja tersebut, Dr Sabri membentangkan mengenai peranan Qiraat Qura’niyah dalam pelbagai disiplin pengajian Islam selain menjelaskan bahawa ilmu qiraat mempunyai peranan tersendiri dalam perspektif luas yang berkaitan dengan ilmu tafsir, akidah dan fiqh.

    Beliau menyatakan fuqaha atau ulama dalam bidang fiqh banyak bergantung pada bacaan qiraat yang sahih dalam proses mengeluarkan hukum dan fatwa. Bacaan qiraat dijadikan dalil bagi memastikan ketepatan hukum yang dikeluarkan.

    Sementara itu panel kedua, Dr Ahmad Baha menyentuh mengenai perkembangan pengajian qiraat di Brunei Darussalam dengan pembentang bertajuk ‘Realiti Pengajian Qiraat di Brunei’.

    Beliau menelusuri perkembangan pengajian qiraat secara formal di Negara Brunei Darussalam yang semakin mendapat tempat pada hari ini. Bermula pada 2017, UNISSA menawarkan Program Sarjana Muda Tahfiz dan Qiraat yang diletakkan di bawah Fakulti Usuluddin.

    Program yang masih baharu tersebut dilihat mempunyai potensi untuk melahirkan pakar dalam bidang qiraat negara. Forum akademik sebegini yang menampilkan pakar dari negara luar adalah antara usaha UNISSA untuk memperkasa bidang qiraat dan memupuk budaya ilmu dalam kalangan para warganya.

    Forum Bersama Ilmuwan 2022 yang berlangsung secara maya pada 26 Mac lalu. – Gambar serahan UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda