Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Lebih 360 orang murid Kindergarten 1 hingga 3 dan pelajar-pelajar Tahun 1 hingga 11 Sekolah Nusa Laila Puteri (SNLP) Cawangan Jangsak, pagi tadi, berkumpul bagi menyambut Hari Kebangsaan ke-33 Tahun di sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Presiden SNLP, Profesor Dr. Pengiran Amir Mohd Yussof bin Pengiran Al-Abbas Al-Haj yang juga merupakan Pengetua/Ketua Pegawai Eksekutif sekolah berkenaan.
Beberapa acara telahpun disusun bagi memeriahkan lagi suasana sambutan berkenaan yang telah dimulakan dengan perarakan pelajar-pelajar sambil mengibarkan bendera kecil menuju ke dewan sekolah dan seterusnya majlis diisi dengan persembahan pelajar Tahun 3 dengan menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu sekolah.
Bagi meningkatkan lagi semangat patriotik setiap pelajar, bacaan Ikrar Hari Kebangsaan dan laungan takbir ‘Allahuakbar’ sebanyak tiga kali oleh pelajar-pelajar lelaki dari bahagian menengah.
Majlis kemudiannya dimeriahkan lagi dengan nyanyian lagu ‘Bumi Bertuah’ beramai-ramai dan diikuti dengan persembahan-persembahan seperti bacaan Petikan, Deklamasi Sajak, Nasyid dan juga pertandingan nyanyian setiap peringkat dari Tahun 7 hingga 11.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Lagu Patriotik, Mewarna, Membaca Puisi dan Membaca Petikan Surat Khabar.
Turut hadir di majlis tersebut ialah ahli-ahli Persatuan Ibu bapa dan Guru-guru SNLP bersama ibu bapa dan penjaga murid-murid sekolah berkenaan.
Adapun majlis sambutan berkenaan diadakan untuk menyuntik perasaan semangat patriotik dalam kalangan murid-murid sejak kecil lagi bagi sama-sama menyambut Hari Kebangsaan di samping dapat menggalakkan murid-murid sentiasa aktif dalam apa jua kegiatan sekolah serta mengeratkan hubungan silaturahim antara murid-murid, guru-guru dan ibu bapa serta penjaga.