Oleh Daniel Lim
BELAIT, 2 JULAI – Bagi menyemarakkan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-75, Majlis Perundingan Mukim (MKM) Liang telah mengadakan upacara menaikkan bendera di Dewan Kemasyarakatan Kampung Lumut, awal pagi tadi.
Hadir bagi menyaksikan upacara menaikkan bendera tersebut sebagai tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku penghulu Mukim Liang. Upacara diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Lumut 2, Haji Khairdon bin Haji Dahlan.
Semasa majlis tersebut, Haji Khairdon selaku pengerusi acara dan pembawa bendera telah menyerahkan bendera negara kepada tetamu kehormat majlis, yang kemudian menyerahkannya kepada ahli Persatuan Veteran ABDB (PERWIRA) untuk dinaikkan Turut hadir ke majlis itu ialah ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK) dari kawasan sekitarnya serta para penduduk, yang turut mengiringi upacara menaikkan bendera dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’.
