Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Batu Marang tidak ketinggalan menyemarakkan bulan Syawal yang akan memasuki minggu keempat dengan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di masjid berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Kampung Batu Marang, Haji Maidin bin Tarip yang juga selaku penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Batu Marang.
Majlis berkenaan juga telah diselajurkan dengan pengumuman Anugerah Khas Tokoh Ugama Sepanjang Zaman Kampung Batu Marang khusus kepada Allahyarham mantan-mantan imam dan mantan bilal yang telah kembali ke rahmatullah.
Pengumuman dibuat oleh imam masjid berkenaan, Awang Muhammad Sharine Hadiman bin Sahari selaku Setiausaha takmir dan penyampaian cenderahati kepada wakil waris penerima telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah khusus kepada Allahyarham mantan-mantan imam dan mantan bilal.
Seterusnya, majlis menyaksikan penyampaian cenderahati kepada lapan orang warga emas dalam kalangan ahli jawatankuasa takmir dan sumbangan derma kepada empat orang anak yatim Kampung Batu Marang yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat dan imam masjid, Awang Saiful Rizal bin Haji Abdul Ghafar.
Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam kemudian telah dibacakan oleh Awang Muhammad Sharine Hadiman.