Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Sempena Bulan Ramadan Tahun 1439H/2018M yang berlangsung di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali berserta ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis telah didahului dengan penyerahan sumbangan wakaf berupa sebuah mesin pencetak untuk kegunaan masjid berkenaan yang disampaikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan kepada imam masjid tersebut.

Seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat diikuti dengan bacaan surah-surah lazim beramai-ramai. Bacaan Takhtim dan Doa Khatam menyusuli majlis diikuti laungan Dikir Marhaban. Bagi memohon keberkatan, Doa Selamat dibacakan oleh imam masjid, Haji Syamsul Nizam bin Haji Badar yang kemudiannya diikuti dengan majlis berbuka puasa dan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.
Majlis khatam ini adalah sebagai penutup majlis-majlis bertadarus bagi KSSUP yang telah diadakan di beberapa buah sebelum ini iaitu Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis/Madang pada 23 Mei dan Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Kampung Bebatik Kilanas pada 28 Mei.