Oleh Nurdiyanah R.
AGAMA Islam mendidik umatnya untuk mencapai kebahagiaan akhirat tanpa mengetepikan kesejahteraan duniawi. Justeru, amalan riadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang dititikberatkan bagi melahirkan masyarakat yang cergas dan cerdas.
Umat Islam tanpa mengira usia, wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan aktiviti riadah dan bersukan untuk mengekalkan tahap kecergasan tubuh badan, seterusnya dapat menunaikan amal ibadah yang difardukan dengan sempurna dan khusyuk. Terdapat banyak hadis menyebutkan mengenai acara sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah, menunggang kuda dan berenang.
Oleh yang demikian, memanah merupakan sukan yang digemari oleh Baginda Rasulullah SAW, baik sebagai aktiviti riadah atau bersukan dan yang lebih penting lagi memanah adalah antara senjata setiap kali Baginda dan para sahabat keluar berperang demi menegakkan agama Islam. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bazzar dan Thabarani.
“Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.”
Apabila kita mengimbas kembali pada zaman Rasulullah SAW, perjuangan Baginda bersama para pengikutnya, di mana pada waktu itu, panah adalah salah satu senjata yang paling ampuh digunakan oleh Baginda Rasulullah SAW, para sahabat dan juga pengikut-pengikut Baginda ketika berperang.







Nama-nama Abdullah bin Zubair, yang pernah memimpin pasukan pemanah semasa Perang Uhud dan juga Saad bin Abi Waqqash, seorang panglima perang yang hebat menggunakan panah, cukup dikenali sebagai pejuang bersama Baginda. Malah, Rasulullah sendiri mempunyai busur-busur panah yang digunakan oleh Baginda ketika berperang.
Dari Uqbah bin Amir Radhiallahu anhu dia berkata: Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda di atas mimbar:
“Persiapkanlah semua kekuatan yang kalian miliki. ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Bersama mengimarahkan sunnah Rasulullah SAW
“Demi mengimarahkan sunnah Rasulullah SAW, inilah salah satu platform yang sesuai untuk meningkatkan pengetahuan kita semua mengenai sukan memanah kepada semua lapisan masyarakat di negara ini,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh Setiausaha Ar-Rafi Archery Brunei, Pengiran Haji Reza Redzuan bin Pengiran Haji Rani semasa Festival Memanah Tradisi Brunei yang diadakan di Kompleks Sukan Jerudong ketika ditemui wartawan Minda, baru-baru ini.
Laksanakalah dengan penuh keikhlasan
Menurut peserta yang telah menjuarai kategori ‘Raja Botol’ semasa acara tersebut berlangsung, Haji Zainuddin bin Haji Awang Osman mengungkapkan perasaan bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas pencapaian yang diperolehi yang mana semuanya berkat sokongan padu dari isteri dan anak-anak serta rakan-rakan seperjuangan yang lain.
“Dengan kita menjalankan sunnah Rasullullah SAW ini dengan penuh keikhlasan, ia sememangnya dapat meluaskan rezeki kita bahkan semangat kekeluargaan dan persahabatan juga akan semakin erat. Itulah hebatnya sunnah junjungan besar kita yang semestinya kita amalkan dalam kehidupan sehari-hari,” ujar beliau yang kini berusia 55 tahun ini dengan penuh keyakinan.
Mewujudkan ketenangan diri
Selain itu, berkembang mekarnya sukan memanah tradisi ini juga jelas terlihat dalam semangat yang ditonjolkan oleh Siti Nurafiqah binti Haji Omar Ali Ra’aie semasa menyertai acara festival tersebut yang mana beliau mula menceburi aktiviti itu sejak tahun 2017 dengan bimbingan tenaga pengajar dari Malaysia semasa mengikuti kursus di Ar-Rafi Archery Brunei.
“Bermula dari asas, pergerakan sehingga ke tahap perseimbangan, itulah antara teknik-teknik yang saya pelajari sebelumnya.
Apa yang pasti, aktiviti sebegini sememangnya mampu mewujudkan ketenangan dalam diri saya dan secara tidak langsung ia juga dapat meningkatkan ikatan silaturahim bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain,” jelas beliau yang berasal dari Kampung Katok, Gadong dengan senyuman manis.
Menjadi salah satu sukan kebangsaan
Sehubungan dengan itu, Pengiran Haji Reza Redzuan turut berharap dengan adanya aktiviti memanah ini, ia mampu menarik lebih ramai masyarakat di negara ini untuk berlumba-lumba meraih pahala dengan melaksanakan sunnah Baginda Rasulullah SAW dan memanfaatkannya di masa lapang untuk kehidupan sehari-hari.
“Di samping itu, saya juga berharap agar suatu hari nanti, sukan memanah tradisi ini akan menjadi salah satu sukan kebangsaan di negara ini dengan izin Allah SWT jua,” tambah beliau lagi semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata dengan penuh harapan yang mendalam.
Memanah bukanlah sukan biasa semata-mata, sebaliknya ia menjadi antara sunnah Rasullullah SAW yang dituntut kepada umat Islam untuk mempelajarinya, selain berenang dan menunggang kuda. Hakikatnya, sukan memanah bukan sahaja mampu melatih fizikal seseorang, bahkan ia juga dapat mendidik emosi diri seseorang itu untuk menjadi insan yang lebih ber-sabar dan tenang serta sentiasa fokus dalam segala hal. Lebih penting lagi, memanah juga menjadi antara aktiviti riadah atau sukan yang boleh memperkasakan ummah dan negara.
Tidak hairanlah Sayyidina Umar bin Al-Khattab sendiri menyuruh umat Islam supaya menerapkan sukan memanah sebagai antara pendidikan kepada generasi muda seperti katanya, “Ajarlah anak-anak kamu dengan memanah, menunggang kuda dan berenang.”
Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud.
“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.”