Sunday, February 9, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembahyang di Masjid al-Haram: Isu saf yang bercampur

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Ketika mengerjakan sembahyang berjemaah di Masjid al-Haram, rata-rata para jemaah berebut-rebut hendak mengerjakan sembahyang di saf yang paling hampir dengan Ka‘abah.

    Ini menyebabkan setiap saf itu menjadi penuh dan padat sehinggakan sukar untuk berpindah ke saf yang lain kerana tidak ada lagi ruang untuk diisi terutama pada saf-saf hadapan.

    Apa yang menjadi kemusykilan di sini ialah percampuran yang berlaku di antara lelaki dengan perempuan dalam satu saf. Adakah perkara ini merosakkan sembahyang seseorang? Adakah terjejas saf berkenaan serta saf-saf di belakangnya? Adakah terjejas sembahyang berjemaah yang didirikan itu atau sebaliknya?

    Pada dasarnya, dalam keadaan jemaah yang ramai, disunatkan lelaki yang baligh berada di saf hadapan kemudian diikuti oleh kanak-kanak lelaki, khuntsa (orang yang tidak diketahui jantinanya adakah lelaki atau perempuan kerana memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan atau tidak memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan) dan baharulah jemaah perempuan di saf yang terakhir.

    Bagaimanapun, kedudukan saf sembahyang seperti ini, amat sukar untuk dipraktikkan di Masjid al-Haram yang sentiasa sesak dengan para jemaah yang menunaikan sembahyang ataupun tawaf tidak kira semasa musim haji ataupun umrah.

    Ketika mengerjakan sembahyang berjemaah di Masjid al-Haram, rata-rata para jemaah berebut-rebut hendak mengerjakan sembahyang di saf yang paling hampir dengan Ka‘abah.
    Dalam keadaan jemaah yang ramai, disunatkan lelaki yang baligh berada di saf hadapan kemudian diikuti oleh kanak-kanak lelaki, khuntsa dan baharulah jemaah perempuan di saf yang terakhir.

    Sebagai contoh ketika di Masjid al-Haram, jika kita perhatikan ketika sembahyang jemaah hendak didirikan, para jemaah yang sedang mengerjakan tawaf, tidak kira sama ada lelaki ataupun perempuan, kanak-kanak, orang dewasa mahupun orang tua, kebiasaannya akan mengisi saf-saf yang berdekatan dengan mereka. Ini menyebabkan kecelaruan saf di mana dalam satu saf itu berlaku percampuran di antara lelaki dengan perempuan dan perempuan berada pada saf hadapan lelaki.

    Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, bahawa saf perempuan itu tempatnya adalah di belakang lelaki, kanak-kanak dan khuntsa. Jadi apakah pandangan syara‘ mengenai perkara ini?

    Imam an-Nawawi Rahimahullah ada menyebutkan permasalahan ini dengan terperinci dalam kitabnya al-Majmu‘:

    (i) Mengenai saf yang bercampur di antara lelaki dengan perempuan, adakah membatalkan sembahyang? Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan:

    “Sekiranya seorang lelaki sembahyang dan di sebelahnya ada seorang perempuan, tidak batal sembahyangnya dan juga tidak batal sembahyang perempuan itu sama ada lelaki itu adalah imam ataupun makmum. Ini adalah mazhab kita.”

    (ii) Dari sudut hukum mengerjakan sembahyang dengan saf seumpama ini pula, Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:

    “Sembahyang perempuan di hadapan lelaki serta di sebelahnya hukumnya makruh. Dan sah sembahyangnya (perempuan itu) serta (sah) sembahyang makmum-makmum lelaki yang perempuan berada di saf hadapan mereka mahupun sebaris dengan mereka menurut pendapat kita (mazhab asy-Syafi’i) serta jumhur.”

    Beliau berkata lagi:

    “Dan hasilnya, bahawa tempat kedudukan-kedudukan (saf) yang disebutkan keseluruhannya itu adalah dalam bentuk istihbab (sunat). Maka jika mereka menyalahinya, hukumnya adalah makruh dan sah sembahyang sebagaimana yang disebutkan oleh pengarang (Imam asy-Syirazi).

    “Begitu juga (sah sembahyang dan makruh) jika imam sembahyang di tempat lebih tinggi daripada makmum ataupun sebaliknya (makmum sembahyang di tempat lebih tinggi daripada imam) tanpa hajat. Begitu juga (sah sembahyang dan makruh) apabila perempuan berada di hadapan saf lelaki selagi mana dia tidak berada di hadapan imam, atau (perempuan itu) berdiri bersebelahan imam atau bersebelahan makmum lelaki, maka sah sembahyang (perempuan) serta sembahyang (jemaah-jemaah) lelaki tanpa perselisihan menurut pendapat kami.”

    Apa yang dapat difahami daripada kata-kata Imam an-Nawawi Rahimahullah itu ialah:

    (i) Kedudukan atau susunan saf yang disebutkan oleh para ulama seperti mendahulukan lelaki yang baligh di saf hadapan kemudian diikuti oleh kanak-kanak lelaki, khuntsa dan baharulah jemaah perempuan adalah berbentuk istihbab (sunat) dan bukannya wajib.

    (ii) Sekiranya kedudukan saf yang sepatutnya ini tidak dapat diikuti, maka ia tidak membatalkan sembahyang dan sembahyang berjemaah itu tetap sah didirikan akan tetapi hukumnya makruh.

    (iii) Sembahyang tanpa mengikut kedudukan saf yang sepatutnya, seperti makmum perempuan berada di sebelah makmum lelaki dalam satu saf ataupun makmum perempuan sembahyang di hadapan saf makmum lelaki tetap sah, akan tetapi hukumnya makruh. Maka tidak batal sembahyang perempuan tersebut, serta tidak batal sembahyang lelaki yang mengerjakan sembahyang di sebelahnya mahupun di belakang makmum perempuan itu.

    (iv) Begitu juga sah dan makruh hukumnya sekiranya seorang makmum, sama ada lelaki ataupun perempuan, bersembahyang di sebelah imam mereka.

    Bagaimanapun, adalah batal sembahyang makmum sekiranya seorang makmum lelaki ataupun makmum perempuan itu bersembahyang di hadapan imam mereka.

    Selain itu, terdapat riwayat yang mendukung kenyataan bahawa keberadaan perempuan dalam saf lelaki tidak membatalkan sembahyang, tidak kira sama ada perempuan itu turut mengerjakan sembahyang ataupun tidak. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata yang maksudnya:

    “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan sembahyang pada suatu malam sedangkan aku berada di sisinya dan aku sedang uzur…” (Hadits riwayat Muslim)

    Menurut Imam an-Nawawi, Imam asy-Syaukani dan Imam Ibnu Rejab Rahimahumullah, hadits di atas merupakan dalil bahawa tidak batal sembahyang seorang lelaki sekiranya di sisinya ada seorang perempuan. Ini adalah pendapat mazhab asy-Syafi‘i serta mazhab jumhur.

    Imam an-Nawawi Rahimahullah menambah, berdasarkan hadits di atas, sekiranya keberadaan seorang perempuan yang tidak mengerjakan sembahyang di sisi seorang lelaki yang sedang mengerjakan sembahyang tidak membatalkan sembahyang lelaki tersebut, maka adalah lebih utama tidak membatalkan sembahyang sekiranya perempuan itu juga sedang mengerjakan sembahyang di sisinya.

    Demikian penjelasan mengenai permasalahan saf sembahyang yang bercampur di antara lelaki dengan perempuan. Dari penjelasan di atas, dapatlah diambil kesimpulan bahawa percampuran tersebut, sepertimana yang biasa berlaku di Masjid al-Haram, hukumnya adalah makruh. Bagaimanapun, perkara ini tidaklah membatalkan sembahyang serta tidak menjejaskan sembahyang berjemaah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda