Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembahyang Jama’ kerana hujan

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sembahyang Jama‘ ialah dua sembahyang fardhu yang dihimpunkan di dalam satu waktu.

    Iaitu menghimpunkan sembahyang fardhu Zhuhur dengan ‘Ashar dan menghimpunkan sembahyang fardhu Maghrib dengan ‘Isya’. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya:“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menghimpunkan antara sembahyang dalam satu pelayaran yang Baginda belayar semasa peperangan Tabuk. Maka Baginda menghimpunkan antara Zhuhur dan ‘Ashar dan antara Maghrib dan ‘Isya’. Sa‘id berkata: “Aku bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: Apa yang membuatkan Baginda berbuat demikian?” Beliau menjawab: “Baginda tidak mahu menberatkan umatnya.” (Hadits riwayat Muslim)

    Apa yang sering kita dengar dan ketahui mengenai sembahyang Jama‘ ini, ia diharuskan ke atas orang yang dalam pelayaran sebagai rukhshah atau keringanan syara‘ atas kesusahan yang kebiasaannya ditempuhi dalam pelayaran.

    Namun sembahyang Jama‘ itu juga diharuskan dengan sebab hujan, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya:“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengerjakan sembahyang dengan menghimpunkan Zhuhur dan ‘Ashar dan menghimpunkan Maghrib dan ‘Isya’ bukan sebab takut dan bukan sebab pelayaran.” (Hadits riwayat Muslim)

    Menurut Imam ‘asy-Syafi‘i Rahimahullah, beliau berpendapat bahawa sembahyang Jama‘ yang dimaksudkan dalam hadits tersebut ialah sembahyang Jama‘ kerana hujan.

    Gambar Freepik

    Sembahyang Jama‘ kerana hujan harus dikerjakan sama ada ketika dalam pelayaran ataupun bermuqim.

    Walau bagaimanapun sembahyang Jama‘ kerana hujan itu hanya harus dikerjakan secara Jama‘ Taqdim iaitu mengerjakan sembahyang kedua dalam waktu sembahyang yang pertama seperti sembahyang ‘Ashar dihimpunkan dalam sembahyang Zhuhur.

    Ia tidak harus dikerjakan secara Jama‘ Ta’khir iaitu mengerjakan sembahyang pertama dalam waktu sembahyang yang kedua seperti sembahyang Zhuhur dihimpunkan dalam sembahyang ‘Ashar.

    Ini kerana mengekalkan hujan itu turun bukan kehendak orang yang bersembahyang itu, kadang-kadang ia berhenti dan menyebabkan sembahyang yang pertama itu terkeluar daripada waktunya tanpa ada keuzuran.

    SYARAT-SYARAT SEMBAHYANG JAMA‘ KERANA HUJAN

    Syarat-syarat sembahyang Jama‘ kerana hujan itu sama kedudukannya dengan syarat-syarat sembahyang Jama‘ Taqdim melainkan ia ditambah dengan beberapa syarat. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:-

    1. MENGIKUT TERTIB

    Hendaklah dikerjakan dua sembahyang yang dijama‘ itu secara tertib iaitu dengan mendahulukan sembahyang Zhuhur kemudian diikuti dengan sembahyang ‘Ashar dan dengan mendahulukan sembahyang Maghrib kemudian diikuti dengan sembahyang ‘Isya’.
    Sekiranya ia dikerjakan dengan tidak mengikut tertib seperti mendahulukan sembahyang ‘Ashar kemudian diikuti dengan sembahyang Zhuhur, maka tidak sah sembahyang tersebut dan hendaklah diulang semula sembahyang ‘Ashar itu selepas mengerjakan sembahyang Zhuhur.

    2. NIAT UNTUK MENJAMA‘ SEMBAHYANG

    Hendaklah berniat untuk menjama‘ sembahyang yang kedua (‘Ashar atau ‘Isya’) bersama dengan sembahyang yang pertama (Zhuhur atau Maghrib).

    Niat itu afdhal dilakukan ketika takbiratul ihram pada sembahyang yang pertama dan harus juga dilakukan niat tersebut semasa sembahyang yang pertama sebelum selesai memberi salam sebagaimana menurut pendapat yang azhar.

    3. BERTURUT-TURUT (MUWALAH)

    Hendaklah dikerjakan dua sembahyang yang dijama‘ itu secara berturut-turut iaitu tidak dipisahkan antara keduanya dengan jarak waktu yang panjang.

    Jika antara kedua-dua sembahyang itu diselangi dengan jarak masa yang panjang, maka wajib dikerjakan sembahyang yang kedua itu (‘Ashar atau ‘Isya’) di dalam waktunya kerana syarat menjama‘ sudah luput.

    4. DIKERJAKAN KETIKA HUJAN TURUN

    Hendaklah hujan turun di permulaan dua sembahyang yang dijama‘ dan ketika memberi salam pada sembahyang yang pertama bagi merealisasikan sembahyang Jama‘ itu disebabkan keuzuran sebagaimana pendapat yang ashah.

    Sebagai contoh sembahyang Jama‘ Zhuhur dan ‘Ashar, hendaklah hujan turun di permulaan sembahyang Zhuhur dan ‘Ashar. Demikian juga, hujan turun ketika memberi salam pada sembahyang Zhuhur.

    Sekiranya hujan sedang turun di permulaan sembahyang iaitu ketika mengangkat takbiratulihram, lalu hujan berhenti ketika pertengahan sembahyang yang pertama, kemudian hujan kembali turun sebelum memberi salam sembahyang yang pertama dan berterusan sehingga permulaan sembahyang yang kedua, maka sembahyang Jama‘ tersebut adalah harus kerana terdapat keuzuran ketika mengerjakan sembahyang Jama‘.

    Adapun jika seseorang memulakan sembahyang yang pertama sedangkan hujan belum lagi turun, lalu ia turun setelah dia masuk mengerjakan sembahyang, maka dalam hal ini tidak harus sembahyang Jama‘ kerana sebab rukhshah menjama‘ sembahyang itu terjadi selepas masuk mengerjakan sembahyang.

    Selain itu, hendaklah hujan yang turun itu sekira-kira membasahi pakaian walaupun hujan yang turun itu tidak lebat.

    Demikian juga dengan hujan salju asalkan ia mencair dan membasahi pakaian. Sekiranya hujan itu turun dan tidak membasahi pakaian maka tidak harus sembahyang Jama‘.

    5.SEMBAHYANG JEMAAH DI MASJID YANG JAUH DAN HUJAN MENYUSAHKAN DI PERJALANAN

    Kelonggaran untuk menjama‘ sembahyang kerana hujan itu adalah khusus bagi mereka yang bermaksud untuk mengerjakan sembahyang secara berjemaah di masjid atau tempat-tempat sembahyang seperti surau dan balai ibadat.

    Kedudukan masjid itu hendaklah berada jauh mengikut ‘uruf daripada rumah mereka dan sekira-kira hujan itu menyusahkan mereka di perjalanan menuju ke masjid.

    Adapun orang yang mengerjakan sembahyang di rumahnya sama ada secara bersendirian atau berjemaah adalah tidak diharuskan menjama‘ sembahyang kerana hujan.

    Demikian juga, jika hujan itu tidak menyusahkan mereka di perjalanan seperti mereka berjalan menuju ke masjid melalui naungan seperti atap dan seumpamanya ataupun kedudukan masjid itu tidak jauh daripada rumahnya, maka tidak diharuskan menjama‘ sembahyang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda