Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sembahyang Jama‘ kerana hujan

    Sambungan minggu lepas

    BEBERAPA PERMASALAHAN SEMBAHYANG JAMA‘ KERANA HUJAN

    1. Mungkin timbul persoalan mengenai syarat kedudukan masjid yang jauh daripada rumah, sedangkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjama‘ sembahyang kerana hujan walaupun rumah-rumah isteri Baginda berhampiran dengan masjid. Namun hakikatnya, rumah-rumah isteri Baginda itu bermacam-macam dan kebanyakkannya berada jauh daripada masjid. Oleh itu, Baginda menjama‘ sembahyang kerana hujan hanya semasa Baginda berada di rumah isterinya yang jauh.

    2. Imam yang ditugaskan oleh pemerintah atau sesiapa yang apabila dia tidak menjadi imam akan menyebabkan tidak ada sembahyang jemaah adalah harus dia menjama‘ sembahyang kerana hujan bersama makmum walaupun imam itu tidak disusahkan oleh hujan seperti imam itu tinggal di masjid.

    Adapun selain daripada imam tersebut seperti mereka yang tinggal berhampiran dengan masjid tidaklah diharuskan berjemaah bersama dengan imam yang menjama‘ sembahyang kerana hujan akan tetapi hendaklah mereka mengakhirkan sembahyang kedua itu ke waktunya.

    Walau bagaimanapun menurut Imam asy-Syabramallisi Rahimahullah, jika mereka yang mengakhirkan sembahyang kedua itu ke waktunya akan menyebabkan mereka mengerjakan sembahyang secara berseorangan, maka harus mereka ikut berjemaah bersama imam yang mengerjakan sembahyang Jama‘ kerana hujan tersebut bagi mendapatkan fadhilat berjemaah.

    3. Menurut Imam al-Muhibb ath-Thabari Rahimahullah, sekiranya seseorang itu pergi ke masjid untuk berjemaah sedangkan hujan belum turun, lalu ia turun semasa dia berada di masjid, maka harus dia ikut berjemaah mengerjakan sembahyang Jama‘ kerana hujan. Ini kerana dia masih berhajat untuk mengerjakan sembahyang seterusnya seperti Ashar atau Isya’ dengan berjemaah di masjid, jika tidak dikerjakan secara Jama‘ maka akan menyusahkannya berulang-alik ke masjid.

    Demikian beberapa penjelasan mengenai kelonggaran mengerjakan sembahyang Jama‘ kerana hujan. Walaupun sembahyang Jama‘ kerana hujan jarang sekali kita mendengar orang melakukannya, tetapi hal ini elok juga diketahui dan difahami sejauh mana keharusan mengerjakan sembahyang Jama‘ kerana hujan, terutama sekali syarat-syarat mengerjakannya.

    Ini kerana boleh jadi suatu hari nanti kita mempunyai keperluan untuk melakukannya. Apabila kita sudah mempunyai ilmu mengenainya maka mudahlah bagi kita untuk menunaikannya.

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda